My Add

Saturday 28 July 2012

Mahasiswa mampu menilai

*NAJIB Tun Razak, Seri Rosmah Mansor dan Mohamed Khaled Nordin bersama sebahagian pemimpin belia dan mahasiswa yang menghadiri majlis berbuka puasa di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.

Oleh THOMAS CHONG
PUTRAJAYA, 27 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin mahasiswa di negara ini yang merupakan golongan intelek dapat menilai dan membezakan janji-janji yang tidak berpaksikan realiti yang banyak ditaburkan oleh sesetengah pihak.

Perdana Menteri berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu cenderung melontar pelbagai isu serta menabur janji-janji ketika mereka tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran.

"Adalah mudah untuk menabur janji semasa mereka tidak berkuasa tetapi apa yang lebih penting adalah apa yang telah dilakukan ketika kita ada kuasa.

"Saya percaya saudara-saudari yang mempunyai daya intelek dan pemikiran tajam sudah tentu tidak mudah menelan segala janji yang ditaburkan, kita harus persoalkan sejauh mana janji itu berpijak pada bumi yang nyata," katanya.

Beliau berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin belia dan mahasiswa serta warga institusi pengajian tinggi di Seri Perdana, di sini malam ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada majlis sama, Najib mengambil kesempatan memberi kata-kata semangat kepada pasukan Robocon dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bakal menyertai kejohanan robot antarabangsa di Hong Kong.

Selain itu, Najib turut menerima kad ucapan hari lahir daripada wakil-wakil pemimpin belia dan mahasiswa sempena sambutan hari jadi beliau pada Isnin lalu.

Menurut Najib, kerajaan mahu melakar masa depan yang jauh lebih baik dan indah kepada generasi muda tetapi lakaran itu mesti berasaskan kepada realiti.

Katanya, tanggungjawab beliau sebagai ketua kerajaan adalah melakukan yang terbaik supaya setiap insan termasuk mereka dari kawasan luar bandar boleh mencapai impian dan cita-cita masing-masing sekiranya sanggup bekerja keras.

"Sebab itulah kita cetuskan agenda transformasi yang akan membawa Malaysia ke masa depan yang jauh lebih baik berbanding hari ini," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, seperti insan biasa yang lain, beliau mendapat kepuasan selepas memberi bantuan dan keriangan kepada golongan yang memerlukan.

"Kalau saya dapat membantu atau memberi sedikit keriangan kepada seorang anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin atau ibu tunggal, saya akan dapat kepuasan sepanjang hari itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment