My Add

Saturday 28 July 2012

Malaysia ketuai program tambah makanan IDB

PAGOH, JUMAAT, 27 Julai, 2012: Malaysia diberi kepercayaan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) untuk mengetuai program penambahan makanan dengan dana RM100 bilion bagi memenuhi keperluan umat Islam di seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dipilih mengetuai program itu yang merupakan projek pertanian mega berikutan keperluan bahan makanan berada pada tahap kritikal ketika ini sehingga ada negara Islam yang mengalami kebuluran.

"Sebentar tadi, Pengerusi Bank Pembangunan Islam Antarabangsa dengan satu pasukan datang berjumpa saya dan memaklumkan Malaysia harus mengetuai usaha memajukan umat Islam dengan program penambahan makanan.

"Ini kerana soal makanan hari ini begitu kritikal, penduduk bertambah berbilion orang hari ini, tapi pengeluaran bahan makanan tidak mencukupi, banyak negara yang rakyatnya kebuluran tidak makan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan tazkirah sebelum majlis berbuka puasa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak di Masjid Jamek Panchor, dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan zakat daripada syarikat-syarikat korporat di Jorak kepada 150 fakir miskin, anak yatim dan golongan kurang bernasib baik dalam kawasan tersebut sebelum menyertai tahlil, majlis berbuka puasa dan solat Maghrib.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kepercayaan itu membuktikan pihak antarabangsa menaruh keyakinan tinggi terhadap Malaysia bukan sahaja untuk memajukan umat Islam tetapi membela nasib mereka.

Namun, kata beliau, umat Islam tidak boleh leka dengan keyakinan itu kerana pelbagai ancaman terhadap Islam berlaku di negara ini ketika ini antaranya percubaan untuk menghidupkan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan fahaman agama songsang.

Keadaan itu, katanya, membuatkan pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap negara ini dan penjajahan dalam bentuk baru akan berlaku jika umat Islam dan rakyat Malaysia tidak menyedari ancaman tersebut.

"Jangan ingat kita sudah bebas, penjajahan minda (akan berlaku), (orang luar) akan tetapkan apa yang harus kita buat, kalau tidak ada wang kita akan dibantu tetapi mesti ikut arahan negara lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam dan bukan Islam supaya terus bersatu padu dan membawa Malaysia ke hadapan bagi mengelak apa yang dikecapi negara selama ini musnah.

"Meskipun rakyat negara ini mempunyai latar belakang yang berbeza, tetapi ia tidak perlu dijadikan halangan untuk kekal harmoni dan meneruskan kecemerlangan sedia ada," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment