My Add

Sunday, 1 July 2012

Najib mampu buat keputusan

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
TAIPING, SABTU, 30 Jun, 2012 Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membuat keputusan tepat sama ada mahu mengadakan pilihan raya lebih awal atau memanfaatkan sepenuhnya mandat lima tahun untuk memantapkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Menurut beliau, dari satu segi, keputusan untuk menghabiskan baki tempoh pemerintahan lima tahun mampu memberi keyakinan lebih tinggi mengenai kemampuan serta keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat.

"Tetapi kemungkinan pula kalau bagi masa yang panjang, desakan atau tuntutan termasuk yang bukan-bukan kepada kerajaan akan bertambah, mereka akan ugut kerajaan kalau tidak bagi (maka) mereka tidak sokong.

"Itu pun kita kena tengok. Tetapi saya rasa Najib akan memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kemampuan kerajaan yang dipimpinnya," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ke-51 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Naib Yang Dipertua Perkim, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Muhammad Rais Abdul Karim serta para pemimpin gabungan pertubuhan itu.

Akhbar hari ini memetik kenyataan Najib bahawa keputusan beliau masih berteka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak bermakna kerajaan tidak yakin untuk menang, sebaliknya ia demi menghormati mandat yang diberi rakyat.

Perdana Menteri berkata, walaupun mendapat sokongan padu, BN mahu menggunakan baki mandat yang ada untuk berkhidmat dan terus membela rakyat melalui pelbagai program yang telah dan bakal diadakan.

Ditanya persepsi mengenai pelbagai bantuan serta inisiatif kerajaan termasuk pemberian wang ringgit yang dilihat sebagai 'suapan' politik, Dr. Mahathir berkata, adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan sedemikian.

"Anda boleh anggap itu sebagai satu sebab tetapi kita tahu kos hidup semakin meningkat, soalnya bagaimana kerajaan hendak bantu golongan yang terlibat. Misalnya jika hendak hapuskan tol, orang miskin tidak merasainya kerana mereka mungkin tiada kenderaan pun.

"Begitu juga jika hendak subsidikan sepenuhnya petrol, maka orang kaya juga menikmatinya. Tapi kalau kita boleh beri wang untuk golongan ini ringankan kos hidup misalnya tanggung yuran sekolah anak, beli buku dan sebagainya, maka itu penjelasan yang boleh diterima," ujarnya.

Dr. Mahathir menambah, jika di bandar ia mungkin berbeza, tapi jika orang miskin di kampung-kampung diberi RM500, ia sangat besar ertinya bagi mereka dan beliau tidak fikir itu satu suapan.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Dr. Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim menggesa semua pihak termasuk badan berkuasa agama supaya menjayakan proses dakwah secara berhemah, bukannya dengan kekerasan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment