My Add

Sunday 1 July 2012

TPM seru ibu bapa pantau rapi anak

KUALA LUMPUR, SABTU, 30 Jun, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru ibu bapa supaya memantau rapi anak masing-masing bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkata, kesibukan bekerja tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan anak-anak terutama pelajar sekolah bebas melakukan pelbagai perkara tanpa pemantauan.

Menurut beliau, melalui pemantauan berkesan, ibu bapa boleh mengenal pasti masalah yang dihadapi anak-anak di peringkat awal dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasinya.

"Ini termasuklah bekerjasama dengan pihak sekolah dan penguat kuasa undang-undang bagi menangani masalah yang dihadapi pelajar secara bersama," katanya ketika merasmikan Program Pemantapan dan Jati Diri Sahsiah Remaja anjuran Persatuan Bekas Anggota Perisikan Malaysia (Baris) yang turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Nordin Hassan.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan pelajar adalah aset amat berharga kepada negara dan mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keharmonian kaum serta kestabilan negara.

"Setiap tindakan dilakukan pelajar biar sekecil mana sekalipun tetap akan memberi kesan kepada masyarakat dan negara," katanya.

Berhubung isu disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar, beliau berkata, komunikasi yang lebih berkesan perlu diwujudkan antara guru, ibu bapa dan golongan tersebut bagi mewujudkan kesedaran tentang isu berkenaan.

"Lebih penting ialah pemantauan berkesan oleh ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin," katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, hasil pemantauan berterusan kementeriannya mendapati jumlah pelajar yang terlibat dalam masalah disiplin telah menurun iaitu daripada 2.06 peratus pada 2010 kepada 2.05 peratus pada tahun lalu.

"Purata kadar salah laku disiplin pelajar yang direkodkan kementerian dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2007 sehingga 2011 ialah 2.07 peratus setahun," ujarnya.

Menurut beliau, salah laku tersebut termasuk kes berat seperti memukul, bergaduh, ponteng sekolah serta disiplin ringan seperti kekemasan diri.

"Ini menunjukkan antara dua hingga tiga peratus daripada 5.3 juta pelajar masih perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, program yang melibatkan kira-kira 1,000 pelajar di sekitar Wilayah Persekutuan bertujuan memantapkan jati diri dan sahsiah mereka.

"Kita mahu melahirkan pelajar yang bersemangat patriotik dan cintakan negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment