Oleh AMRAN MULUP
MELAKA, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Kementerian Dalam Negeri akan memantapkan pendekatan omnipresence iaitu mewujudkan kerjasama antara pihak keselamatan bersama sukarelawan bagi mengatasi masalah jenayah di tempat awam yang berisiko.
Ketua Setiausahanya, Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi berkata, menerusi pendekatan tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapat kerjasama pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar, ibu bapa dan komuniti masyarakat.
Menurutnya, melalui kerjasama tersebut, rondaan secara ketara dapat dilakukan bersama sukarelawan terbabit di beberapa lokasi penting seperti sekolah, kawasan letak kereta pusat beli-belah dan kompleks perniagaan yang menjadi tumpuan penjenayah.
"Kementerian bercadang memperluaskan pendekatan omnipresence di seluruh negara secara berperingkat dan buat masa ini, program ini dimulakan di sekolah sekitar Lembah Klang termasuk sekolah antarabangsa.
"Kita sedang melihat sejauh mana kerjasama ini dapat diwujudkan dan tahap kesedaran sektor swasta, komuniti, NGO, ibu bapa dan pemilik premis perniagaan mengenai perkara ini.
"Usaha ini dilaksanakan untuk memastikan segala keresahan dan ketakutan rakyat dapat dibendung ketika berada di lokasi tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima replika kunci sempena majlis penyerahan projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) bernilai RM73 juta yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Muara Sungai Melaka, Bandar Hilir di sini hari ini.
Beliau menerima replika kunci tersebut daripada Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan) JKR, Ir. Annies Md. Ariff.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, program IM4U yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Ahad ini adalah sebahagian usaha kementerian itu mewujudkan sukarelawan muda untuk memantapkan pendekatan tersebut.
Menurutnya, pihaknya bukan sahaja menyasarkan sukarelawan daripada Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), malah golongan belia berusia antara 18 hingga 25 tahun turut menyertai program tersebut.
"Kami jangka kira-kira 30,000 akan mendaftar sebagai sukarelawan muda," ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya Abdul Rahim berkata, kompleks baru CIQ itu akan menempatkan terminal penumpang dengan memberi lebih keselesaan kepada mereka khususnya yang datang dari Dumai dan Bengkalis, Indonesia. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment