My Add

Saturday, 14 July 2012

Pelaburan RM10 bilion di Sabah bukti keyakinan pelabur

TAWAU, SABTU, 14 Julai, 2012: Kemasukan pelaburan berjumlah RM10 bilion pada suku pertama tahun ini ke Sabah membuktikan keyakinan pelabur terhadap kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN). 

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, sekiranya pelabur tidak yakin dengan sistem kerajaan serta kestabilan politik di Sabah dan Malaysia amnya, tidak mungkin pelabur ingin mengambil risiko melabur di Sabah dengan jumlah pelaburan yang begitu besar. 

"Saya dimaklumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bahawa pelaburan berkenaan adalah termasuk dalam sektor industri minyak dan gas di pantai barat Sabah," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyerahan surat tawaran bantuan baik pulih rumah nelayan di sini hari ini. 

Tawfiq berkata, antara pelabur yang akan melabur di Sabah di masa depan ialah Darden Restaurants Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang akan membabitkan diri dalam projek ternakan udang kara secara besar-besaran di Semporna yang kos projeknya bernilai RM2 bilion. 

Beliau berkata, apabila projek berkenaan dilaksanakan oleh syarikat rangkaian restoran bertaraf dunia itu, ia sudah tentu akan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat di Sabah termasuk dari segi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 

"Ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, pelabur berkenaan memaklumkan bahawa perairan di beberapa negara di Asia Tenggara juga sesuai untuk projek itu, namun mereka memilih Sabah atas beberapa faktor termasuk suasana politik Sabah yang stabil," katanya. 

Sehubungan itu Tawfiq mengajak rakyat supaya terus bersatu padu dan memelihara keamanan yang sedia ada di bawah kerajaan BN bagi memastikan lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara datang melabur di Sabah. 

Melalui pelaburan seperti itu, katanya, kerajaan akan memperoleh lebih banyak pendapatan hasil cukai dan pendapatan berkenaan akan dipulangkan kepada rakyat dalam banyak bentuk seperti penyediaan infrastruktur asas yang lebih selesa, pemberian subsidi serta pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan RM100 untuk setiap murid dan baucer belian buku bernilai RM200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi. 

Tawfiq berkata, Malaysia membelanjakan kira-kira RM20 bilion setahun untuk menampung pelbagai subsidi termasuk subsidi minyak, beras, gula, petrol dan diesel untuk mengurangkan beban rakyat dan jumlah wang itu adalah hasil dari cukai yang dapat dikutip daripada suasana persekitaran negara yang aman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment