My Add

Tuesday 10 July 2012

Pelan tindakan jelas diperlukan industri robotik: MYRAIG

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Julai, 2012: Malaysia mesti mengambil langkah berani dan bersepadu untuk membangunkan dan meningkatkan industri robotik dan automasinya dengan merangka pelan induk jelas yang diselaraskan oleh kerajaan dan industri dengan baik bagi mengelak negara daripada ketinggalan. 

Pengerusi Kumpulan Kepentingan Automasi dan Robotik Malaysia (MYRAIG), Profesor Dr Ishkandar Baharin, berkata cabaran utama ialah kurangnya persatuan industri robotik yang kukuh, tidak seperti negara maju yang mempunyai sumber robotik yang kukuh dan berkesan serta otpimum.

"Kami kini aktif mengumpul maklum balas daripada pelbagai penggiat industri robotik dan automasi dan pembuat keputusan bagi membantu membangunkan kerangka kerja dan pelan tindakan robotik dan automasi nasional untuk Malaysia. 

"Eropah, Amerika Syarikat, Korea dan Jepun cemerlang dalam bidang ini memandangkan mereka menyelaraskan usaha kerajaan, industri dan akademik dalam membangunkan industri menerusi pelan induk yang jelas yang dipantau oleh pelabur dan institusi kewangan," katanya dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Robotik Asia 2012 di sini, hari ini. 

Persidangan sehari itu yang dilancarkan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof bermatlamat menjadi landasan untuk semua penggiat yang terbabit dalam industri robotik dan automasi di Malaysia bersatu untuk merangka Pelan Tindakan Robotik dan Auromasi Malaysia. 

"Menerusi persidangan ini, kumpulan kerja akan dibentuk untuk merancang agenda strategi robotik nasional. Peserta dalam bengkel ini akan membentuk kumpulan teknologi Robotik Malaysia. 

"Mereka terdiri daripada profesional teras yang akan diperakui sebagai pemimpin robotik dan automasi yang akan menyumbang kepada pelan tindakan robotik dan automasi pertama Malaysia yang akan menjadi pelan tindakan nasional untuk meneraju inovasi industri menerusi teknologi robotik dan automasi," kata Ishkandar. 

Beliau berkata, berdasarkan perspektif industri, MYRAIG melihat dari sudut visi produk untuk keperluan aplikasi dan daripada sains asas kepada pencapaian teknologi. 

"Kami berminat mewujudkan rangkaian kelompok robotik dan automasi yang membabitkan semua pihak bagi membincangkan agensi nasional dan bagaimana menjajarkan sektor itu dengan program transformasi ekonomi kerajaan," katanya. 

MYRAIG, sebuah kumpulan Persatuan Malaysia bagi Kejuruteraan dan Teknologi bergabung dengan Persekutuan Antarabangsa Robotik yang berpangkalan di Jerman dan Persatuan robotik Korea dan Jepun, dengan mensasarkan untuk membantu membangunkan kerangka kerja yang diperlukan bagi meletakkan Malaysia sebagai hab Asia bagi robotik dan automasi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment