My Add

Sunday 8 July 2012

Pemerintah Indonesia tidak terpengaruh dakyah Anwar: TPM

Saharuddin Musthafa
NUSA DUA (BALI), SABTU, 07 Julai, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin pemerintah dan parti-parti politik di Indonesia tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah dan pembohongan yang sering dilakukan oleh Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia disebabkan pemimpin-pemimpin di Indonesia semakin memahami landskap politik Malaysia.

Paling utama, jelas beliau, pemimpin di peringkat kerajaan dan parti-parti politik Indonesia memilih untuk mengakui hubungan dua hala yang sedia terjalin pada masa ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin menolak andaian yang mengatakan Anwar cukup berpengaruh di Indonesia seperti mana sering ketua pembangkang itu gambarkan.

"Saya percaya pemimpin-pemimpin Indonesia dan parti-parti politik di negara itu lebih memahami keadaan sebenar. Lebih-lebih lagi kita ada hubungan akrab antara kerajaan dengan kerajaan.

"Saya juga fikir mereka tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang dilakukan pemimpin pembangkang," katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini hari ini.

Sepanjang lawatan kerja enam hari di Indonesia, Muhyiddin turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin tiga buah parti politik terbesar di Indonesia.

Ketiga-tiga pemimpin yang ditemui beliau ialah Ketua Umum parti Golkar, Aburizal Bakrie, Ketua Umum Parti Demokrat, Annas Urbaningrum dan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (DPI-P), Megawati Sukarnoputeri.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pada pertemuan dengan ketiga-tiga parti politik terbesar Indonesia itu, isu Anwar tidak langsung menjadi perhatian.

Beliau turut merumuskan lawatan kerja beliau ke Indonesia sebagai berjaya kerana turut berpeluang bertukar-tukar pandangan dengan Naib Presiden negara itu, Boediono.

Menurut Muhyiddin, pertemuan dengan Boediono pada hari pertama lawatan secara keseluruhannya membincangkan mengenai kepentingan hubungan dua hala.

"Semasa pertemuan dengan Boediono, banyak yang kami bincangkan khususnya mengenai kepentingan bersama dua negara termasuk perdagangan, pelaburan serta kerjasama yang sudah terjalin seperti dalam bidang pertahanan, pendidikan dan bidang-bidang lain," kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran turut menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN ke-7, mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN + 3 Pertama dan Sidang Kemuncak Menteri Pelajaran Asia Timur Pertama yang berlangsung selama dua hari di Yogyakarta. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment