My Add

Wednesday 4 July 2012

Penjara tanpa 'mata'

*CONTOH mesin pengimbas badan. - Gambar hiasan» Tiada mesin pengimbas badan dan CCTV 

KAJANG, SELASA, 03 Julai, 2012:: Semua 33 penjara dan dan 13 pusat pemulihan di seluruh negara tidak mempunyai mesin pengimbas badan untuk mengesan penyeludupan barang larangan. Selain itu, hanya 17 penjara dilengkapi sistem keselamatan elektronik bersepadu (SKEB), termasuk kemudahan kamera litar tertutup (CCTV). 

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar, mengaku ketiadaan kelengkapan itu menyukarkan Jabatan Penjara membuat pemantauan dan pengawasan lebih berkesan bagi membanteras penyeludupan barang larangan, termasuk dadah. 

“Ia satu keperluan yang mendesak untuk jabatan menambah baik langkah menangani masalah penyeludupan barang larangan,” katanya kepada BH semalam. 

Beliau ditemui selepas mesyuarat khas Jabatan Penjara berikutan pendedahan akhbar ini Ahad lalu mengenai penyeludupan dadah serta barang larangan lain yang membabitkan banduan, warden dan polis. Selain kegunaan sendiri, dadah yang diseludup dijual di kalangan banduan. 

Warden dan polis terbabit dikatakan menerima komisen 30 hingga 50 peratus bagi setiap barangan yang dijual, manakala banduan yang mengetuai rangkaian itu boleh meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan. 

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya sudah mengemukakan belanjawan pembelian kelengkapan teknologi, terutama mesin pengimbas yang setiap satu bernilai lebih RM1 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) awal tahun ini. 

“SKEB dan mesin pengimbas membantu langkah pencegahan, pemantauan dan kawalan lebih menyeluruh di penjara. Setiap penjara memerlukan satu hingga dua mesin pengimbas bagi meningkatkan kecekapan. - BH

No comments:

Post a Comment