My Add

Monday 16 July 2012

Perkasa gesa Kementerian Pelajaran kaji 18 resolusi

*IBRAHIM Ali menunjukkan Buku Resolusi Persidangan Meja Bulat selepas mempengerusikan perjumpaan NGO Melayu Islam di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, AHAD, 15 Julai, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Kementerian Pelajaran mengkaji dengan teliti 18 resolusi yang dikemukakannya berhubung Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, resolusi yang diserahkan kepada kementerian tersebut pada Jumaat lalu mencakupi pelbagai aspek khususnya tuntutan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama persekolahan dan institusi pengajian tinggi.

Ujar beliau, ia sejajar dengan apa yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

''Resolusi ini adalah hasil persidangan meja bulat anjuran Perkasa pada 19 Mei lalu yang disertai pelbagai pihak dan kita sudah serahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,'' katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan perjumpaan NGO Melayu Islam di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.

Antara NGO yang hadir ialah Jalur Tiga (Jati), Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Waris Malaya.

Ibrahim berkata, selain bahasa Melayu, Perkasa juga menuntut kementerian tidak menunaikan tuntutan yang bercanggah dengan dasar yang terkandung dalam Penyata Razak 1956, Penyata Abdul Rahman Talib 1960, Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi mengelak berlakunya polarisasi kaum.

Mengulas mengenai perjumpaan bersama NGO Melayu Islam tersebut, jelasnya, ia antara lain membincangkan penyelarasan tugas dan rangkaian kerjasama antara NGO berkenaan.

Sementara itu, Presiden Jati, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, NGO Melayu Islam perlu seiring bekerjasama bagi membolehkan perjuangan mempertahan Islam, Melayu dan raja dapat diperkasakan.

''Hari ini kita saling berkenalan antara satu sama lain bagi mewujudkan rangkaian kerjasama dan bagaimana kita boleh memberi manfaat kepada perjuangan masing-masing,'' katanya.

Sementara itu, ketika merasmikan Ibu pejabat Perkasa Selangor di Seksyen 9 di sini malam semalam, Ibrahim meminta masyarakat Cina terus memberi sokongan kepada MCA bagi menjamin keamanan negara dapat dikekalkan.

Menurutnya, ini kerana setiap tuntutan kaum Cina menerusi parti itu tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.

"Salah satu faktor negara ini dikenali dengan keamanannya adalah kerana kesemua parti yang mewakili pelbagai kaum dalam BN termasuk MCA berbincang dengan baik tanpa menyinggung hati kaum lain," katanya

Terdahulu, dalam ceramahnya, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang turut menghadiri majlis itu berkata, DAP langsung tidak menghormati Pas apabila sering mempertikaikan keputusan parti tersebut sehingga membuatkan ramai ahlinya tersinggung.

"Sebagai contoh di Kedah, hanya ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP tetapi mereka dengan biadab sering mempertikaikan keputusan kerajaan negeri yang ditadbir Pas meskipun mereka adalah rakan dalam pakatan pembangkang," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment