My Add

Saturday 28 July 2012

Perkasa hargai jasa Arshad Ayub

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Julai , 2012: Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menganugerahkan ‘Bintang Pribumi Perkasa Negara’ kepada Tan Sri Arshad Ayub pada majlis berbuka puasa pertubuhan itu, di sini Ahad ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, anugerah kepada Arshad yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bagi mengiktiraf sumbangan, peranan dan perjuangan beliau membangunkan pendidikan profesional di kalangan anak Melayu bumiputera

‘‘Beliau adalah Arkitek UiTM yang kini menjadi gedung modal insan pribumi yang teragung di negara ini,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Arshad, 84 dianugerahkan Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2012 pada sambutan ulang tahun ke-66 UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 11 Mei lalu.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO sebagai menghargai sumbangan Arshad kepada negara dan parti.

Arshad yang masih aktif sebagai seorang pentadbir, khususnya dalam dunia korporat dan pendidikan, merupakan antara pelopor dalam pembangunan UiTM serta menjadi pengarah pertamanya pada 1967 hingga 1975.

Menurut Ibrahim, pada majlis di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bahru itu juga, Arshad akan dinobatkan sebagai ‘Bapa Modal Insan Pribumi Negara’ oleh Perkasa.

‘‘Setakat ini dua tokoh terbilang negara menerima anugerah tertinggi Perkasa iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad dalam kategori kepimpinan negara dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor (keselamatan negara),’’ katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment