My Add

Sunday 15 July 2012

Permata Seni serlah bakat luar biasa di Asia Barat

DUBAI, SABTU, 14 Julai, 2012: Warga bandar raya ini terpesona dengan kebolehan dan keistimewaan 70 penghibur muda kumpulan Permata Seni yang mempamerkan bakat luar biasa mereka melalui tarian, nyanyian dan permainan alat muzik dalam satu persembahan pada Jumaat malam.

Sebaik acara dimulakan, hadirin dipukau oleh kehebatan anggota Permata Seni Music melalui persembahan orkestra mereka dan ini sekali gus memberi bayangan kepada penonton tentang hiburan lebih menarik yang bakal mereka nikmati di sepanjang pertunjukan sulung Permata Seni di Asia Barat itu.

Persembahan ini diadakan bersempena undangan yang diterima isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menghadiri Persidangan Asia Pasifik Mengenai Bakat Semula Jadi ke-12 di Dubai International Convention and Exhibition Centre (DICEC) pada Sabtu.

Rosmah, yang juga penaung Permata Seni, adalah antara lebih kurang 500 hadirin yang memenuhi sebuah dewan di DICEC dan yang memberi semangat kepada barisan penghibur muda itu dalam persembahan mereka bersempena Dubai Summer Surprises Festival 2012.

Di bawah bimbingan konduktor Syafinaz Selamat, Koir Permata Seni mempersembahkan beberapa lagu termasuk Ibu yang pernah dinyanyikan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan lagu Mama yang dipopularkan Spice Girls dengan diiringi memek wajah yang menghayati maksud di sebalik setiap lagu didendangkan, dengan diiringi tepukan bergemuruh para hadirin.

Bagaimanapun, tepukan paling bergemuruh diterima Kumpulan Penari Permata Seni apabila mereka mempamerkan persembahan tarian yang cukup menarik dan bertenaga dengan diiringi alunan muzik Melayu, Arab dan rock-and-roll, yang memikat hati para penonton persembahan anjuran Dubai Events and Promotions Establishment di bawah naungan kerajaan Dubai itu.

Ketika ditemui selepas persembahan selama hampir satu jam setengah itu, warga Dubai Fadiel Aswed berkata, beliau kagum dengan bakat dimiliki kanak-kanak berkenaan.

"Persembahan tadi sungguh menarik, saya terpegun melihatnya. Semua berjalan secara tersusun dan dipersembahkan dengan baik," kata Fadiel yang berasal dari Lebanon. 

Rakyat Jordan, Nader Harb juga memberi pujian kepada kanak-kanak Malaysia itu sambil berkata, beliau terhibur dengan pelbagai lagu dan tarian yang dipersembahkan.

Duta Besar Malaysia ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Datuk Ahmad Anwar Adnan berkata, persembahan seperti itu boleh membuka mata rakyat negara lain tentang budaya Malaysia dan secara tidak langsung membantu mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Dubai Summer Surprises Festival adalah antara acara utama dalam kalendar Dubai apabila penduduk negara anggota Majlis Kerjasama Teluk dan pelancong dari negara lain membanjiri bandar raya ini untuk membeli-belah di lebih 6,000 kedai yang menyertai acara itu pada tahun ini.

Festival beli-belah sebulan itu, yang berakhir hari ini, memberi lebih banyak tumpuan untuk memenuhi selera kehidupan berkeluarga, dengan setiap kedai mengadakan program khusus untuk kanak-kanak daripada pelbagai kumpulan usia.

Program Permata Seni bertujuan mengenal pasti kanak-kanak yang memiliki potensi dalam bidang seni agar bakat mereka boleh terus digilap melalui latihan dan pendedahan.

Anggota Permata Seni telah mengadakan persembahan di pelbagai bandar raya terkenal seperti Vienna, Los Angeles, Washington, New York dan bandar utama di Korea Selatan dan Jepun.

Dua anggota Permata Seni pula mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di seberang laut.

Tengku Ahmad Irfan, 13, diterima belajar bermain piano dan menyusun lagu di Juilliard School, New York manakala Amir Adrian Amir Hamzah, 10, anggota Koir Permata Seni, mendapat tempat di Augarten Palace, Vienna, yang melatih kanak-kanak yang menganggotai Vienna Boys Choir. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment