KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 Julai, 2012: Warga Malaysia di Syria akan dibawa pulang ke tanah air menggunakan penerbangan komersial yang disewa khas, dan bukannya pesawat Charlie milik Tentera Udara Diraja Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia kerana tempat duduk dalam pesawat Charlie adalah terhad dan kos menggunakan pesawat itu agak tinggi.
"Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai hal ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan pemilihan pelatih Program Latihan Khidmat Negara Siri 10/2013 di sini, hari ini.
Kumpulan pertama rakyat Malaysia di Syria yang dibawa pulang oleh kerajaan berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu, dijangka tiba di tanah air esok.
Zulkifeli, yang turut hadir pada majlis itu, berkata ATM akan memantau proses membawa pulang rakyat Malaysia itu bersama penasihat pertahanan negara ini di Jordan.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan memutuskan bahawa semua rakyat Malaysia dan pelajar di Syria dibawa pulang ke tanah air serta merta berikutan perkembangan konflik di negara itu.
Sebelum ini, media melaporkan 138 rakyat Malaysia terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Damsyik, ibu kota Syria. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment