My Add

Tuesday, 24 July 2012

Wanita Malaysia terlibat penipuan tsunami

SEOUL, ISNIN, 23 Julai, 2012: Polis Korea Selatan menahan seorang wanita Indonesia dan meminta Interpol menahan tiga suspek lain iaitu seorang wanita rakyat Malaysia, Nigeria dan lelaki dipercayai warga Amerika Syarikat kerana terlibat dalam penipuan melibatkan bencana gempa bumi dan tsunami Jepun Mac tahun lalu.

Wanita Malaysia berusia 33 tahun itu dilaporkan menghantar satu e-mel kepada seorang lelaki Korea Selatan pada tahun lalu melalui laman penpal, mendakwa dia bekerja dengan sebuah bank di negaranya.

Menurut wanita itu, seorang pelanggan Jepun dengan jumlah deposit sebanyak AS$4.2 juta (RM13.3 juta) dalam akaun bank tempatnya bekerja, telah terbunuh dalam bencana gempa bumi dan tsunami bersama kesemua ahli keluarganya.

Wanita tersebut mencadangkan supaya lelaki Korea Selatan itu menuntut wang berkenaan dengan menyamar sebagai waris mangsa dan berkongsi wang dengannya.

Polis berkata, wanita Malaysia itu memperoleh AS$96,000 (RM304,512) daripada lelaki Korea tersebut selepas menyatakan duit itu diperlukan untuk memalsukan dokumen.

Namun, lelaki Korea itu tidak sabar dengan proses pengurusan yang lambat dan bertindak membuat laporan polis pada April lalu.

Lelaki itu menjemput rakannya iaitu seorang wanita Indonesia yang berusia 33 tahun untuk ke Seoul dengan janji mendapatkan lebih banyak wang dan polis menahan wanita itu pada 4 Julai lalu.

"Ini adalah penahanan pertama melibatkan penipuan yang mengambil kesempatan ke atas bencana tsunami Jepun, tetapi kami mula menerima banyak laporan mengenai cubaan sama sejak penahanan itu," kata polis penyiasat, Kim Gyoung-he. - AFP

1 comment: