My Add

Wednesday 8 August 2012

1M Privilege Card dilancar

*NAJIB Tun Razak melancarkan '1Malaysia Privilege Card di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya, semalam. Turut hadir (dari kiri), Ahmad Husni Hanadzlah, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
                            Oleh Norliza Abd. Rahman
PUTRAJAYA, SELASA, 07 Ogos, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan '1Malaysia Privilege Card' khusus bagi anggota tentera dan polis membabitkan 241,000 pegawai dan anggota sebagai inisiatif menghargai jasa dan khidmat bakti mereka.

Kemudahan kad tersebut akan membolehkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diistilahkan oleh Perdana Menteri sebagai 'wira yang tidak didendang' mendapat diskaun antara lima hingga 25 peratus daripada harga belian barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh kira-kira 20 syarikat yang mengambil bahagian.

Menurutnya, di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan 6 (NBOS 6) itu, kemudahan kad tersebut adalah lanjutan kepada kerjasama unik antara pelbagai jabatan serta agensi kerajaan yang diperkenalkan di negara ini.

"Mudah-mudahan kad ini dapat digunakan untuk menambah lagi kuasa membeli atau 'pendapatan boleh guna' rakyat," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran 1Malaysia Privilege Card dan portal www.1mprivilege.my di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin.

Inisiatif itu membolehkan pemegang kad menikmati diskaun dalam pelbagai perbelanjaan barangan keperluan harian, alat sukan, alat ganti kenderaan, perhotelan, barangan kesihatan dan banyak lagi.

Perdana Menteri berkata, kerjasama tentera dan polis telah memberi banyak manfaat kepada negara apabila perkongsian tempat latihan dapat membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan bernilai ratusan juta ringgit.

Beliau berkata, pencapaian objektif yang lebih pantas diperlukan dalam usaha membawa transformasi besar negara, di samping penjanaan idea-idea yang kreatif serta pelaksanaan agenda yang lebih cepat, tepat dan berintegriti.

"Saya percaya melalui usaha sebegini dan daripada dasar-dasar yang kerajaan jalankan, kejayaan negara akan menjurus kepada apa yang kita impikan tetapi segala impian kita ini tonggaknya mesti kepada keselamatan, keamanan dan kestabilan," katanya.

Menurut beliau, jaminan masa depan Malaysia adalah berteraskan kepada komitmen kedua-dua pasukan keselamatan itu mempertahankan ketinggian Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

"Tuan-tuan dan puan-puanlah yang menjamin segala impian boleh menjadi realiti, tuan-tuan dan puan-puan adalah wira yang tidak didendang tetapi besar sumbangan dan pengorbanan kepada rakyat dan negara," katanya.

Perdana Menteri kemudiannya melawat ruang-ruang pameran yang disertai oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.

Inisiatif 1Malaysia Privilege Card dilaksanakan dalam tiga fasa dengan permulaan untuk warga ATM dan PDRM, diikuti fasa kedua membabitkan pesara kedua-dua pasukan itu manakala fasa ketiga melibatkan perkhidmatan lain yang akan dikenal pasti.

Bermula hari ini, kad diskaun itu akan diagih secara berperingkat kepada 130,000 warga tentera dan 111,000 warga polis. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment