My Add

Wednesday 8 August 2012

'Saya akan kembali di Rio'

* LEE Chong Wei menunjukkan pingat perak Sukan Olimpik yang dimenanginya kepada Razali Ibrahim ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

Oleh ZAZALI JAMIAN
SEPANG, SELASA, 07 Ogos, 2012: Selepas menerima sambutan wira sebaik tiba di tanah air semalam, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyuarakan kesediaaan untuk kembali ke pentas Olimpik di Rio, Brazil 2016 andai kudratnya masih mengizinkan.

Jaguh No. 2 dunia itu sebelum ini pernah mengumumkan bahawa Olimpik London adalah penyertaan terakhirnya dalam temasya sukan terbesar dunia dan dia bercadang untuk bersara pada 2014.

Chong Wei akan berusia 33 tahun apabila Olimpik 2016 berlangsung, namun bekas sifunya, Datuk Misbun Sidek percaya pemain itu masih mampu memberi tentangan kompetitif dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.

Chong Wei sendiri bersedia menangguhkan persaraan demi memenuhi impian memburu emas pertama Olimpik dengan syarat tahap fizikal dan kesihatannya masih baik mengizinkan.

"Saya akan tengok prestasi saya dalam tempoh dua tahun ini, kalau tidak mengalami kecederaan yang serius saya akan ke Olimpik 2016.

"Saya juga mahu lupakan kekecewaan di Olimpik London... terus ke hadapan dan fokus pada Kejohanan Dunia (2013) selepas ini," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam.

Tambah Chong Wei, meskipun terlepas peluang meraih emas buat kali kedua berturut-turut, namun pengalaman menyertai Sukan Olimpik sejak 2008 telah memberi banyak pengajaran kepadanya.

"Dahulu ketika menyertai Olimpik Beijing saya lebih terburu-buru untuk mendapatkan emas tetapi di London saya lebih tenang menghadapinya.

"Selepas ini tumpuan saya lebih kepada persiapan menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel dua tahun akan datang selain kejohanan dunia.

"Saya juga perlu menilai keupayaan saya dan keputusan diperolehi pada dua temasya penting itu sebelum membuat keputusan untuk menyertai Olimpik 2016," katanya lagi.

Sementara itu, ketibaan jaguh badminton negara itu semalam dinanti oleh lebih 1,000 peminat badminton tempatan yang berkumpul di Balai Ketibaan KLIA seawal pukul 6.30 pagi. Turut menyambut kepulangan Chong Wei, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim serta Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.

Sebaik Chong Wei dan skuad badminton negara melepasi pintu Balai Ketibaan pada pukul 8.30 pagi semua penyokong berteriak memanggil namanya sambil melaungkan 'Malaysia Boleh'.

Dalam pada itu, Chong Wei berkata, dia amat terharu dengan sambutan tersebut dan menyifatkan ia sebagai suatu penghormatan buatnya.

"Saya berterima kasih kepada semua yang hadir dengan sambutan sebegini meskipun tidak seramai ketika saya meraih perak di Beijing pada 2008," kata Chong Wei.

Juara All England dua kali itu bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang memperlekehkan kekalahannya kepada Lin Dan pada perlawanan akhir, Ahad lalu.

"Saya tidak tahu hendak cakap apa, sebab saya belum tengok atau baca apa yang dia tulis," ujar bekas jaguh No. 1 dunia kelahiran Pulau Pinang itu lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment