My Add

Saturday 11 August 2012

Ambil iktibar kesengsaraan negara Islam

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI dan SHOLINA OSMAN
KANGAR, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Kemelut yang melanda negara-negara Islam sejak kebelakangan ini seharusnya menimbulkan kesedaran kepada rakyat Malaysia yang bukan sahaja dapat hidup aman dan harmoni malah dilimpahi pelbagai nikmat diberikan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, ini kerana suasana aman di Malaysia menyebabkan rakyat hidup dalam kesenangan berbanding sesetengah negara Islam yang terlibat dalam perang saudara sehingga menyebabkan penduduknya mengalami kesusahan dan kesengsaraan.

"Di bulan Ramadan ini, kita seharusnya mengambil iktibar di sebalik peperangan sesama sendiri di sesetengah negara Islam, malah negara yang mempunyai tamadun Islam cukup hebat seperti Syria kini keadaannya cukup menyedihkan, rakyat hidup sengsara, ramai kanak-kanak dan wanita terbunuh, banyak rumah dan bangunan musnah.

"Tetapi di negara ini, kita seharusnya bersyukur kerana dapat hidup aman, malah menjalani ibadat di bulan Ramadan dengan rezeki melimpah sehingga pelbagai bantuan dan sumbangan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Beliau berucap pada majlis berbuka puasa sempena lawatan kerja sehari Timbalan Perdana Menteri ke Perlis, di Dewan 2020, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut Muhyiddin, kestabilan negara yang dikecapi rakyat selama ini disebabkan perancangan strategik kerajaan dalam usaha membangunkan Malaysia ke tahap yang boleh menjadi contoh kepada negara lain termasuk negara-negara Islam.

"Negara-negara Islam termasuk Afghanistan mahu mencontohi Malaysia, malah meminta kita membantu pelajar-pelajarnya menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam dalam beberapa bidang termasuk kedoktoran, perubatan dan kejuruteraan.

"Begitu juga Mesir, kerajaan barunya mahu mencontohi Malaysia dalam membangunkan negara kerana mereka tahu kejayaan negara berlandaskan tumpuan terhadap beberapa bidang termasuk pelajaran," katanya.

Selain pelajaran, kata Muhyiddin, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi sehingga negara tidak mengalami krisis ekonomi seperti negara lain.

"Negara maju seperti Amerika Syarikat menghadapi krisis ekonomi cukup teruk, malah Sepanyol dan Itali juga, tetapi kita di Malaysia lain pula, hampir tidak ada pengangguran kerana kerajaan memberi tumpuan dalam membangunkan ekonomi negara.

"Malah, negara-negara ini yang handal sehingga banyak memenangi pingat emas menghadapi masalah ekonomi, Malaysia tidak menang sebutir pun pingat emas, masing-masing hanya sebutir perak dan gangsa tetapi ekonomi kita berjaya," kata beliau secara berseloroh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment