My Add

Tuesday 7 August 2012

DPK dilancar dengan modal RM30 juta

KUALA LUMPUR, ISNIN, 06 Ogos, 2012: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan melancarkan Dana Peladang Kebangsaan (DPK) dengan modal sebanyak RM30 juta pada November depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pelancaran DPK akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, serentak dengan pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 pada 23 November depan.

Menurut beliau, Nafas yang juga koperasi peladang akan menggunakan model perniagaan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) dalam operasinya.

Tambahnya, penubuhan DPK bertujuan menggembleng sumber dana ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) yang akan digunakan dalam projek ekonomi berdaya maju dan mendapatkan kemudahan pinjaman daripada dana berkenaan.

''Nafas akan mendapatkan 779,886 orang peladang yang telah menjadi ahli PPK untuk mencarum sebanyak RM10 sebulan setiap seorang,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di sini hari ini.

Menurutnya, ini bermakna Nafas boleh mengumpul dana sebanyak RM7.798 juta sebulan atau RM93.583 juta setahun.

"Dana itu seandainya dapat diuruskan dengan baik mampu memberi pulangan dividen yang tinggi seperti dinikmati oleh ahli Bank Rakyat.

"Harapan kita ialah Nafas mampu menjadi Bank Peladang pada masa depan," katanya.

Pada majlis itu, Nafas telah menandatangani perjanjian persefahaman Program Mentor Mentee dengan Bank Rakyat.

Di bawah perjanjian itu, Bank Rakyat akan bertindak sebagai mentor dengan memberi bimbingan kepada Nafas dalam merealisasikan penubuhan DPK.

Sementara itu, Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Badri Yunus ketika berucap berkata, DPK yang bakal beroperasi pada November akan menawarkan enam produk iaitu Skim Pelaburan Khas Peladang, Skim Simpanan Biasa, Skim Simpanan Tetap, Skim Pembiayaan Jangka Panjang dan Jangka Pendek serta Ar-Rahnu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment