My Add

Tuesday 7 August 2012

Langkah elak media jadi mangsa di perhimpunan

KUALA LUMPUR, SELASA, 07 Ogos, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memutuskan tidak lama lagi mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung kaedah yang harus diambil bagi menangani petugas media ketika membuat liputan sesuatu perhimpunan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, SOP itu, yang akan diumumkan sebulan daripada sekarang akan dirangka dengan mengambil kira pandangan dan cadangan petugas media yang pernah membuat liputan berkenaan seperti ketika perhimpunan yang ditunjangi pembangkang 28 April lalu.

"Polis dan media perlu duduk bersama bagi membincangkan SOP ini. Kami mahu anda (media) datang dan beri beberapa cadangan kepada kami. Kami mahu dengar sendiri daripada wartawan.

"Kami perlu sedikit nasihat, jadi kami mahu mendengarnya daripada anda. Saya rasa ini yang terbaik kerana anda berada di sana, melihat apa sebenarnya yang berlaku ketika itu (Perhimpunan 28 April)," katanya selepas menghadiri majlis Jalinan Ramadan 2012 bersama pasukan keselamatan anjuran Pergerakan Wanita UMNO di sini, hari ini.

Beliau mengulas, laporan Panel Siasatan Bebas mengenai perhimpunan itu yang mendapati tiadanya SOP di kalangan pasukan polis menjadi punca berlakunya insiden wartawan dan jurufoto mendapat kecederaan.

Panel itu yang dipengerusikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dalam pembentangan laporannya pada 16 Julai lalu menyatakan tiadanya arahan daripada pihak atasan kepada anggota bawahan bagaimana hendak menangani pihak media yang bertugas menyebabkan setiap anggota polis secara individu mengambil keputusan di tangan mereka sendiri.

Sehubungan itu, Ismail menyeru mana-mana wartawan atau pengamal media yang secara tidak sengaja menjadi mangsa ketika membuat liputan perhimpunan itu untuk tampil memberikan pandangan dalam perbincangan yang bakal dijalankan supaya SOP yang bakal ditentukan kelak mampu memberi kepuasan kepada semua pihak.
Terdahulu dalam ucapannya, Ismail turut melahirkan penghargaan kepada Wanita UMNO atas sumbangan bungkusan hari raya bagi diagihkan kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas semasa Aidilfitri.

Pada majlis itu, 8,000 bungkusan kuih raya diagihkan kepada pasukan keselamatan membabitkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment