My Add

Tuesday 7 August 2012

Penjaja punca bekalan minyak dicatu di pasar raya

SHAH ALAM, SELASA, 07 Ogos, 2012: Penjaja yang membeli minyak masak dalam kuantiti banyak adalah punca barangan itu dicatu di sebuah pasar raya di Selayang baru-baru ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, siasatan kementerian mendapati pasar raya itu terpaksa mengambil langkah mencatu bekalan minyak masak berikutan ada penjaja membeli barangan itu yang dijual pada harga subsidi.

"Bila berlaku situasi berkenaan, saya difahamkan pasar raya itu hanya membenarkan setiap pembeli membeli dua botol minyak masak (satu kilogram setiap satu).

"Namun, masalah itu telah diselesaikan, dan bahan itu kembali dijual seperti biasa," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan Hari Raya kepada golongan memerlukan anjuran Persatuan Kebajikan Shah Alam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, minyak masak bungkusan satu kilogram yang dijual di pasar raya adalah untuk kegunaan orang ramai, dan diberikan subsidi oleh kerajaan, bukannya untuk mereka yang menjaja atau berniaga, termasuk pada Ramadan.

Beliau berkata, peniaga atau penjaja sepatutnya membeli minyak masak dalam tin 17 kilogram kerana ia lebih sesuai memandangkan mereka menggunakannya dalam kuantiti yang banyak.

"Kalau untuk pengguna biasa, saya percaya dua botol dengan jumlah dua kilogram cukup bagi kegunaan sebulan," katanya sambil menambah bekalan minyak masak mencukupi menjelang Aidilfitri.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, sumbangan sempena perayaan di negara ini sangat istimewa kerana ia diraikan semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, kaum dan peringkat umur.

"Kita semua membawa semangat 1Malaysia, daripada pemberi sehingga penerima, merangkumi pelbagai bangsa dan agama menikmatinya sempena Aidilfitri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment