My Add

Saturday 11 August 2012

FAMA sedia 16 Pasar Tani Khas di Johor menjelang Aidilfitri

JOHOR BAHRU, SABTU, 11 Ogos, 2012: Kira-kira 27,900 ekor ayam, daging dari 171 ekor lembu dan 12,650 biji kelapa akan dipasarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di 16 pasar tani di seluruh Johor menerusi Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri, pada Jumaat dan Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang, berkata turut dipasarkan ialah 4.6 metrik tan kacang panjang, 2.45 metrik tan cili merah dan 4.3 metrik tan kubis.

Beliau berkata, Pasar Tani khas itu akan disertai 392 peniaga yang terdiri daripada petani, penternak, nelayan dan usahawan industri asas tani.

"Daripada 16 pasar tani, hanya lima akan mengadakan jualan khas pada Jumaat dan Sabtu iaitu Pasar Tani Mega Larkin, di sini, Pasar Tani Pontian, Pasar Tani Jalan Omar di Batu Pahat, Pasar Tani Jalan Sungai Kemang di Kota Tinggi dan Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir di Ledang," katanya.

Bercakap pada pelancaran Pasar Tani khas itu, di sini, hari ini, Maulizan berkata, dua pasar tani lagi iaitu Pasar Tani Bandar Tenggara di Kota Tinggi dan Pasar Tani di Jalan Kampung Sri Lalang, Mersing akan mengadakan jualan khas pada Jumaat.

Beliau berkata, Pasar Tani yang hanya mengadakan jualan pada Sabtu pula ialah Pasar Tani di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang; Pasar Tani Bandar Baru Uda; Pasar Tani Indahpura di Kulaijaya; dan Pasar Tani Jalan Datuk Onn di Mersing;

Pasar Tani Bukit Pasir di Muar; Pasar Tani Segamat; Pasar Tani Labis; Pasar Tani Kampung Melayu di Simpang Renggam; dan Pasar Tani Taman Sri Lambak di Kluang.

Maulizan berkata, kesemua pasar tani berkenaan dijangka memulakan jualan mulai jam 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari kecuali Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir yang akan melanjutkan masa operasi sehingga pukul 5 petang.

"FAMA ingin memberi jaminan bahawa harga barangan keperluan yang ditawarkan kelak tidak melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan. Kami juga akan memantau harga keperluan yang dipasarkan di Pasar Tani Mega Larkin, di sini, memandangkan ia turut mendapat sambutan dari rakyat Singapura," katanya.

Sementara itu, Pengarah FAMA Johor, Faridulatrash Md Mokri pula berkata, semua barangan keperluan khususnya bekalan sayur untuk pasar tani khas itu dibawa dari Cameron Highlands manakala sebahagian bekalan kelapa dibawa masuk dari Indonesia.

Beliau berkata, selain pasar tani khas, pihaknya turut menyediakan 21 Agro Bazar Kedai Rakyat di seluruh Johor pada Jumaat dan Sabtu ini yang menyediakan pelbagai keperluan utama bahan makanan bagi menyambut Aidilfitri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment