My Add

Saturday 25 August 2012

Garis panduan baru FIC kekal

Nor Yakcop
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 24 Ogos, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, setakat ini tiada keperluan kepada kerajaan untuk meminda atau melonggarkan syarat transaksi penjualan syarikat milik kepentingan majoriti asing dalam Garis Panduan Baharu Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC).

Menurut beliau, kerajaan tidak boleh melakukan sebarang perubahan sewenang-wenangnya kerana ia bakal memberi kesan tidak baik kepada pelabur.

“Keputusan (mengenai transaksi jualan kepentingan majoriti asing) yang dibuat oleh FIC itu selepas mendalami dan memperincikan perkara tersebut. Ia adalah satu polisi kepada pelabur asing untuk menggalakkan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan mereka.

“Justeru adalah tidak wajar polisi berkenaan dipinda dalam tempoh waktu yang cepat kerana ia masih sesuai untuk diguna pakai pada waktu ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Beliau berkata demikian mengulas mereka yang tidak berpuas hati berikutan pemilikan ExxonMobil oleh San Miguel, selepas Boustead Holdings Bhd. gagal dalam bidaan itu.

Sedangkan dalam garis panduan baru itu menyatakan sebarang transaksi membabitkan jualan bukan bumiputera atau kepentingan majoriti asing tidak lagi memerlukan kelulusan FIC.

Yang terbaru pula apabila KUB Bhd. (KUB) tewas dalam bidaannya untuk memiliki perniagaan gas cecair asli Shell kepada syarikat gas nasional Oman (NGC), meskipun pada awalnya KUB dipercayai semakin hampir memiliki syarikat tersebut.

Nor Mohamed menjelaskan, pindaan dalam syarat-syarat jualan kepentingan majoriti asing itu tidak boleh tertakluk kepada kes-kes tersebut kerana ia boleh memberi persepsi buruk kepada Malaysia.

Tegasnya, setiap liberalisasi perniagaan mempunyai kesan positif atau negatif dan setakat ini syarat-syarat yang diperkenalkan oleh FIC adalah baik kepada Malaysia.

Mengulas lanjut, Nor Mohamed berkata, kegagalan itu tidak boleh dijadikan pengukur kepada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

“Kita berbangga kerana GLC kita cukup hebat dan memiliki kekuatan yang mengagumkan. Contohnya, CIMB Bank muncul sebagai bank serantau dan institusi bank yang kukuh. Begitu juga dengan Telekom Malaysia Bhd.

“AirAsia Bhd., walaupun bukan GLC tetapi ia telah menjadi juara dalam industri penerbangan.

“Felda dan Integrated HealthCare Bhd. (IHH) juga tidak terkecuali apabila penyenaraiannya mendapat sambutan cukup baik," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment