My Add

Saturday 25 August 2012

Hak milik tanah: Khaled mahu MB Johor tepati janji


*Khaled Nordin bercakap kepada pemberita semalam.

MOHD FIRDAUS YON

JOHOR BAHRU, SABTU, 25 Ogos, 2012: Kerajaan Negeri dirayu supaya memandang serius dan menyegerakan proses pemberian hak milik tanah yang dipohon penduduk di 10 perkampungan setinggan di Parlimen Pasir Gudang.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman diharapkan dapat mengotakan janji dibuat ketika Bajet Negeri Johor 2003 untuk memberikan hak milik tanah yang diterokai kepada penduduk.

Menurutnya, kira-kira 10,000 penduduk di kampung terbabit sudah lama bersabar untuk mendapatkan hak masing-masing ke atas tanah yang mereka terokai sejak 20 hingga 100 tahun dahulu.

“Usia perkampungan terlibat ada yang mencecah sehingga 100 tahun dan sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan keperluan rakyat, hak mereka selaku peneroka awal kampung berkenaan harus diiktiraf dengan memberikan (hak milik) geran tanah yang telah dijanjikan.

“Umno Bahagian Pasir Gudang sudah kemukakan kepada Kerajaan Negeri mengenai tanah-tanah ini dan sehingga hari ini, hanya Kampung Pasir Gudang Baru sahaja yang telah mendapat geran masing-masing (Notis 5A),” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, hal berkenaan perlu dibangkitkan semula memandangkan ia berkait rapat dengan tema Hari Merdeka iaitu ‘55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’ dan juga sempena menyambut Aidilfitri.

“Tema ini menunjukkan bahawa apa yang kerajaan buat dan janjikan, sentiasa cuba dicapai dan dilaksanakan. Oleh itu, kita berharap apa sahaja perkara yang perlu dilaksanakan di Parlimen Pasir Gudang dapat dilaksanakan.

“Kita tidak mahu perkara-perkara yang dijanjikan kepada rakyat tidak tertunai sekali gus mencemarkan nama baik kerajaan.

“Justeru, saya berharap dalam mengambil kira tema Hari Kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi, Kerajaan Negeri dapat menunaikan janji mengenai soal tanah setinggan yang dipohon penduduk,” katanya.

Mohamed Khaled juga percaya Kerajaan Negeri mampu mengendalikan isu berkenaan dengan kadar segera walaupun tanah di kampung terlibat dimiliki oleh dua pihak iaitu Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Teguh Tebrau Berhad.

Katanya, KPRJ adalah milik penuh Kerajaan Negeri dan dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengotakan janji yang telah dilafazkan, manakala tanah milik Teguh Tebrau diharap dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

“Beberapa penyelesaian telah dicadangkan termasuk menukar pemilikan tanah kerajaan di tapak bekas Penjara Air Molek, di sini dengan tanah milik syarikat tersebut yang menempatkan sebahagian kampung berkenaan.

“Apabila ia berjaya dilaksanakan, saya rasa isu pemberian geran tanah itu tidak lagi menghadapi sebarang masalah besar,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment