My Add

Friday, 17 August 2012

Hudud boleh dilaksana jika Pas sertai UMNO


*TUN Mahathir Mohamad (dua, kiri) menyampaikan duit raya kepada penduduk di bahagian Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Kedah.

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
JERLUN, JUMAAT, 17 Ogos, 2012: UMNO boleh memperkenalkan hukum hudud jika Pas bergandingan dengan parti teras Barisan Nasional (BN) itu, dengan membangunkan sebuah negara Islam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, UMNO amat mengalukan-alukan penyertaan Pas dalam parti itu jika ia berpisah dari Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, pelaksanaan hudud hanya dapat dilakukan jika Pas menyertai UMNO untuk bersama-sama membina negara dan menggubal perundangan Islam.

“Sebelum itu, kita harus pastikan hudud yang akan dilaksanakan adalah bukan hudud Pas, sebaliknya hukum hudud yang ditetapkan oleh agama Islam.

“Pas harus keluar dari PR secepat mungkin kerana mereka saling berpelukan dengan orang kafir yang secara nyata menolak hudud,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis sumbangan dan berbuka puasa peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam, di Masjid Pekan Jerlun, semalam.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, sudah tiba masanya Pas meninggalkan PR dan menetapkan pendirian sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Apabila Pas meninggalkan PR yang disertai parti bukan Islam, baru mereka boleh meneruskan perjuangannya yang didokong selama ini.

“Selagi Pas bersama parti yang tidak mengakui Islam adalah agama unggul, hukum hudud tidak dapat di laksanakan,” katanya.

Menurutnya, dunia mengiktiraf Malaysia adalah sebuah negara Islam tetapi ia tidak dapat melaksanakan hudud kerana Malaysia mempunyai kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

“UMNO akan mewujudkan sebuah negara Islam yang lengkap jika Pas berbesar hati untuk menyertai UMNO.

“Negara Islam lain juga menaruh harapan kepada Malaysia, namun masih ada orang yang cuba memecahbelahkan orang Islam. Oleh kerana itu hajat kita tidak tercapai.

“Untuk membina sebuah negara Islam, orang Melayu harus bersatu dalam satu pakatan dan membangunkannya secara lengkap.

“Kita tidak usah mempedulikan orang yang memperjuangkan hanya untuk menjadi Perdana Menteri, sebaliknya semua orang Melayu dan Islam mesti bersatu untuk membina sebuah negara Islam dan melaksanakan hudud,” katanya.

UMNO, katanya semakin lemah kerana orang Melayu berpecah dan keadaan itu menyebabkan komponen teras Barisan Nasional tersebut sudah tidak lagi dihormati, katanya.

UMNO, parti yang berusia lebih enam dekad itu semakin lemah kerana Melayu kian berpecah akibat pertumbuhan sebuah parti serpihan, tgasnya.

Katanya, pemimpin yang menubuhkan parti serpihan itu dinamakan “Keadilan” (kini dikenali sebagai PKR) hanya bercita-cita untuk menjadi seorang Perdana Menteri.

“Tumbuhnya Keadilan bukan untuk keadilan rakyat, sebaliknya ingin mencapai cita-cita seseorang sebagai Perdana Menteri.

“Perpecahan ini juga bukan disebabkan oleh perbezaan fahaman politik mahupun agama, tetapi kerana keinginan untuk menjadi PM sahaja.

“UMNO sudah tidak kuat dan semakin lemah. Apabila UMNO lemah, orang sudah tidak menghormati UMNO lagi.

“Kita boleh perhatikan orang Melayu juga semakin banyak menjadi pengemis. Inilah adalah kesan daripada perpecahan orang Melayu sedangkan perpaduan adalah untuk menyatukan kita semua.

“Orang Melayu berpecah disebabkan oleh orang tertentu yang bercita-cita ingin menjadi seorang PM.

“Orang ini menyebabkan UMNO semakin lemah dan terpaksa meminta pertolongan daripada orang lain untuk mendapatkan kembali tempat dalam negara,” katanya.

Menurutnya  orang Arab sentiasa padang tinggi kepada Malaysia kerana telah menjadi sebuah negara yang aman dan maju.

“Tetapi, sekiranya Melayu berpecah secara berterusan dan UMNO tidak dapat menjadi sebuah kerajaan yang kuat, prestasi negara akan jatuh dan tidak akan dihormati oleh negara luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment