My Add

Friday 10 August 2012

Hukuman penjara 2 tahun, denda terhadap pegawai polis kekal

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM30,000 terhadap pegawai polis berpangkat inspektor yang didapati bersalah menerima rasuah daripada seorang peniaga makanan yang menggaji warga asing tanpa permit, lapan tahun lalu.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas menolak rayuan V Vijayan untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara dan denda itu yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 13 Januari tahun lalu.

Kamardin ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mendapati tiada merit rayuan yang dikemukakan oleh peguam P Sutheswary, yang mewakili Vijayan, bagi kedua-dua pertuduhan dihadapi anak guamnya.

"Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak mahkamah mendapati rayuan tertuduh terhadap sabitan ditolak dan keputusan terhadap Mahkamah Sesyen sebelum ini dikekalkan," katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan Anthony Michael Joseph yang menghadapi pertuduhan sama tidak hadir ke mahkamah hari ini disebabkan masalah kesihatan dan perkara itu dimaklumkan peguam Joseph Christopher, yang mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 September ini untuk keputusan terhadap Anthony.

Bagi pertuduhan pertama, Vijayan, 32, yang kini digantung daripada tugasnya, dan Anthony, 43, didakwa bersetuju menerima RM3,000 daripada S Ganeswaran sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap peniaga itu kerana menggaji dua pekerja lelaki warga India yang tidak mempunyai pas kerja sah di Blok 17, Taman Setapak Indah di sini pada 1 hingga 2 petang, 20 Ogos 2004.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersubahat menerima rasuah RM3,000 daripada Ganeswaran di stesen minyak Shell, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini pada jam 9.40 malam hari yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 10 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd Saad daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment