My Add

Friday 10 August 2012

Hadiah khas untuk Pandelela - Ketua Menteri

KUCHING, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata hari ini beliau akan mengumumkan pemberian hadiah khas kepada peserta Olimpik dari Malaysia, Pandalela Rinong sekembalinya dari kejohanan berprestij di dunia itu.

Beliau berkata hadiah tersebut akan bersesuaian dengan kejayaan athlet terjun berusia 19 tahun itu yang muncul sebagai wanita pertama Malaysia memperoleh medal gangsa dalam acara platform 10 meter.

"Kita berbangga kerana mempunyai seorang rakyat Sarawak memenangi pingat gangsa dalam Olimpik dan dia akan menjadi daya inspirasi kepada mereka yang lain," kata Taib ketika diminta mengulas kejayaan yang dicapai oleh Pandelela itu.

Dalam acara peringkat akhir di Pusat Akuatik London awal hari ini, Pandelela bermula kurang baik namun kembali mencabar dengan mengumpulkan 359.20 mata di belakang pemenang pingat emas Chen Ruolin dari China dan perak dirangkul oleh peserta Australia, Brittany Broben.

Dengan kejayaan ini, Pandelela akan menerima ganjaran RM150,000 di bawah sekim insentif Kementerian Belia dan Sukan dan pencen bulanan RM2,000.


Di ALOR SETAR, kejayaan atlit terjun negara, Pandelela Rinong meraih pingat gangsa Olimpik dalam acara 10 meter platform wanita membuktikan kejayaan kerajaan dalam mewujudkan sekolah sukan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata, kemenangan Pandelela, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, membuktikan usaha Kementerian Pelajaran menubuhkan sekolah sukan boleh membantu negara meraih pingat pada temasya sukan antarabangsa.

"Kontinjen negara kini tidak hanya bergantung kepada acara badminton untuk memperoleh pingat negara dalam Sukan Olimpik," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek bantuan modal kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Kedah di SRJKC Keat Hwa di sini, hari ini.

Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata, di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan gelarannya dengan 422.30 mata dan pingat perak menjadi milik penerjun Australia, Brittany Broben dengan 366.50 mata.

Sementara itu, Wee berkata, Kementerian Pelajaran hari ini menyerahkan cek bantuan modal berjumlah RM6.975 juta iaitu sebanyak RM5.625 juta kepada 68 SRJKC dan RM1.35 juta kepada empat SMJK di Kedah.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah daripada peruntukan RM100 juta kepada SJKC, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Mubaligh di seluruh negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012.

"Di Kedah terdapat tujuh Sekolah Mubaligh yang akan menerima peruntukan tersebut sebanyak RM1.45 juta dan kita akan serahkan dalam tempoh terdekat," katanya.
Mengulas dakwaan bahawa peruntukan kepada sekolah tersebut tidak mencukupi, Wee berkata, perkara tersebut tidak pernah berlaku memandangkan pihak kementerian telah membuat kajian sebelum memberi peruntukan itu.

"Kalau sekolah itu hendak buat bangunan sekolah, kita akan turun padang dan buat kajian mengenai kos yang diperlukan sebelum meluluskan peruntukan tersebut," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment