My Add

Tuesday 7 August 2012

Islam keutamaan tertinggi


*NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran peringkat negeri di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI


Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY dan MAZNAH MOHD. ARSAD 
JOHOR BAHRU, ISNIN, 06 Ogos, 2012: Kerajaan meletakkan Islam sebagai keutamaan tertinggi berbanding dengan politik supaya segala permasalahan dan perpecahan dapat diatasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sekarang patuh kepada tuntutan agama dan perintah Allah menurut 'maqasid syariah' yang menekankan penjagaan Islam, keamanan, akal, ilmu dan pendidikan serta harta.

"Sebab itulah, kita mesti jaga Islam, jaga akidah, jaga akhlak, tingkatkan syiar Islam dan bangunkan infrastruktur dan memperkukuhkan perundangan Islam. Ini memang tanggungjawab kita.

"Kita tidak mahu Islam yang dikaitkan dengan kemiskinan dan kelemahan tetapi Islam yang kuat dan perkasa. Kita mahu umat Islam yang berjaya," katanya ketika berucap pada Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran peringkat negeri di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin: Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsudin dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut.

Najib bersama pemimpin yang lain turut berbuka puasa bersama lebih 2,000 hadirin sebelum menunaikan solat maghrib dan isyak serta solat sunat tarawih.

Menurut Najib, kerajaan mementingkan pentadbiran berlandaskan syariah kerana ia sememangnya tuntutan dalam Islam.

"Sebab itulah hari ini dunia melihat Malaysia sebagai model terbaik, sehingga Presiden Mesir yang baru, Mohamed Mursi pun mengatakan negara kita sebagai contoh pembangunan," katanya.

Kata Najib, keamanan negara juga terjamin walaupun mengharungi pelbagai cabaran malah pelbagai program dijalankan kerajaan dalam 'penjagaan akal', antaranya pembinaan universiti seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terletak berhampiran.

Tambahnya, Johor terutama Iskandar Malaysia kini menyaksikan pelaburan sebanyak RM95 bilion dengan RM43 bilion sudah dilaksanakan berkat ketaatan, kesetiaan dan perpaduan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment