My Add

Wednesday 15 August 2012

Isu Syabas: Panel pantau keluar kenyataan setiap hari

 Khalid Ibrahim
SHAH ALAM, RABU, 15 Ogos, 2012: Jawatankuasa Pemantauan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan mengeluarkan kenyataan akhbar selepas setiap mesyuarat harian dengan Syabas, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata Jawatankuasa Pemantau itu, yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Muhammad Khusrin Munawi, berbuat demikian bagi memaklumkan perkembangan terkini status pembekalan dan perkhidmatan air kepada seluruh rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berikutan itu, beliau berkata Syabas tidak lagi dibenar membuat kenyataan akhbar mengenai operasi air seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi air antara kedua-dua pihak.

"Syabas hanya boleh membuat kenyataan setelah mendapat persetujuan kerajaan negeri sebab mengikut perjanjian, Syabas ialah operator pengendalian air kepada kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata mengikut perjanjian konsesi air itu, kerajaan negeri adalah Pengarah Kawal Selia Air ke atas Syabas dan atas sebab itu, ia mahu menguatkuasakan kuasanya terhadap Syabas.

Beliau berkata dari semasa ke semasa, kerajaan negeri juga akan memanggil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyertai mesyuarat di antara kedua-dua pihak terutama dari segi kos pembaikan paip dan loji pembersihan air.

Mengenai dakwaan Koordinator Barisan Nasional Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa pengurusan atasan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) telah menulis surat kepada Konsortium Abbas Sdn Bhd (ABBAS) untuk mengurangkan pengeluaran air terawat, Abdul Khalid berkata arahan itu dikeluarkan selepas perbincangan dengan SPAN.

Mohd Zin mendakwa arahan itu ditandatangani melalui satu memo bertarikh 29 Disember 2011 oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KPS Suhaimi Kamaralzaman yang meminta ABBAS mengurangkan pengeluaran air terawat daripada kira-kira 142 juta gelen sehari kepada hanya 120 juta gelen sehari.

Mengenai langkah kerajaan persekutuan mengeluarkan tender terbuka pembinaan Langat 2, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa mengenai perkara itu.

"Tetapi daripada segi pelaksanaan, kerajaan negeri telah membuat kenyataan selagi penyusunan semula air tidak selesai, pandangan kerajaan negeri terhadap Langat 2 ialah ia belum lagi dianggap satu perkara utama dalam pelaksanaan operasi pengendalian air di Selangor," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik di Lembah Klang sekiranya projek meningkatkan keupayaan bekalan elektrik Tenaga Nasional Bhd di Rawang masih tertangguh, Abdul Khalid berkata adalah lebih baik perkara itu diselesaikan dengan kadar segera.

Mengenai isu pengambilan tanah Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) oleh kerajaan negeri, beliau berkata proses pengambilan tanah itu berlaku menerusi
beberapa peringkat.

Mengikut Kanun Tanah Negara, beliau berkata kerajaan negeri boleh mengambil tanah yang tidak digunakan mengikut syarat yang ditetapkan dan tiada pembayaran cukai.

Abdul Khalid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mohd Zin bahawa tanah seluas 234 hektar di Gombak yang dimiliki secara sah oleh SAP Holding Bhd iaitu anak syarikat KHSB, telah dirampas oleh Kerajaan Selangor tanpa alasan kukuh.

Mengenai Universiti Selangor (Unisel), beliau berkata kerajaan negeri telah meminta Unisel menyediakan pelan tindakan kecemasan bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian dan mempunyai tempat tinggal yang sesuai jika asrama yang diuruskan oleh Jana Niaga Sdn Bhd di kampus Bestari Jaya tidak dapat digunakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment