My Add

Wednesday 8 August 2012

Jawatankuasa khas perlu libatkan Tengku Razaleigh


NURRUL HUDA AHMAD LUTF
KOTA BHARU, SELASA, 07 Ogos, 2012: Kerajaan Kelantan mahu jawatankuasa khas berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum dianggotai penggubal Akta Kemajuan Petroleum 1974, termasuk bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, pelantikan itu penting supaya hasil perbincangan dapat dicapai berlandaskan undang-undang sekali gus tidak menafikan hak rakyat negeri ini.

“Saya mencadangkan kalau boleh jawatankuasa ini perlu dianggotai penggubal akta ini yang masih hidup seperti bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas, Nik Syaghir Nik Mohd Nor termasuk juga bekas Pengerusi Petronas sendiri, Tengku Razaleigh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri berkata, pengisian jawatankuasa khas itu tidak boleh bersifat mengkaji tetapi perlu lebih kepada kaedah menyegerakan bayaran royalti minyak kepada Kelantan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Petroleum 1975.

“Saya sarankan supaya Kerajaan Pusat tubuh jawatankuasa ini bukan untuk mengkaji tetapi ditubuhkan bagi mempercepatkan bayaran royalti minyak negeri ini seperti yang termaktub dalam perjanjian,” katanya.

Beliau tidak menafikan berkemungkinan akan wujud situasi Kerajaan Pusat tidak akan melunaskan bayaran royalti kepada Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu, Husam mencadangkan supaya Kerajaan Pusat mempercepatkan tempoh pelaksanaan jawatankuasa khas itu dari enam bulan kepada satu bulan sahaja.

“Tempoh enam bulan lama sangat dan bagi saya penubuhan jawatankuasa khas ini disifatkan menghabiskan masa dan wang ringgit sahaja. Rakyat negeri ini hanya mahukan hak mereka dan royalti perlu dibayar, itu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Husam berkata, sebagai sebuah kerajaan yang sering melaungkan slogan ‘mendengar suara rakyat’ termasuk menggalakkan transformasi itu, Kerajaan Pusat disarankan memartabatkan hak rakyat negeri ini.

Sabtu lepas, Najib mengumumkan untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus mengenai isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Najib berkata, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari Kerajaan Pahang, Terengganu dan Kelantan yang diperkenankan Sultan negeri tersebut.

Dalam soal wakil kerajaan negeri bagi menganggotai jawatankuasa khas itu nanti Najib menegaskan wakil itu mestilah tidak memihak kepada mana-mana parti sebaliknya mempunyai semangat dan jiwa memperjuangkan rakyat Kelantan. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment