My Add

Saturday 4 August 2012

Kofi Annan letak jawatan

*MAYAT beberapa orang penduduk Syria yang didakwa oleh aktivis pembangkang dibunuh oleh tentera kerajaan ditemui di Jdeidet Artouz dekat Damsyik pada 1 Ogos lalu. - REUTERS

ALEPPO, JUMAAT, 03 Ogos, 2012: Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan meletak jawatan sebagai wakil khas PBB-Liga Arab bagi Syria, semalam setelah pelan damai yang diusahakannya pada April lalu tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada negara-negara kuasa dunia.

Ketika tentera Syria menggunakan jet pejuang untuk mematahkan pemberontak yang bersenjatakan kereta kebal di Aleppo hari ini, Annan kecewa dengan 'peningkatan ketenteraan' dalam konflik yang telah berlarutan selama 17 bulan itu.

Beliau turut kesal dengan 'tindakan saling tuduh-menuduh yang berterusan' di Majlis Keselamatan PBB yang disifatkannya menghalang tindakan untuk menamatkan pertumpahan darah di Syria.

Annan berkata, pertelagahan telah menghalang usahanya untuk melaksanakan pelan damai di Syria yang sepatutnya bermula dengan gencatan senjata oleh kedua-dua pihak pada 12 April lalu, tetapi tidak pernah terlaksana.

Bagaimanapun, peletakan jawatan beliau telah mencetuskan satu pusingan baru tuduh-menuduh antara negara-negara kuasa dunia.

"Saya tidak menerima sokongan yang sepatutnya. Anda harus faham, sebagai seorang wakil, saya tidak mampu membawa keamanan tanpa sokongan Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa.

"Peningkatan ketenteraan dan kurangnya kesepakatan di Majlis Keselamatan pada dasarnya telah mengubah peranan saya," katanya dalam satu sidang media di Geneva, semalam selepas peletakan jawatannya diumumkan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon di New York.

Sementara itu, bedilan di kem pelarian Palestin Yarmuk di Damsyik menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, hari ini.

Pertubuhan itu berkata, bedilan mortar mengenai kem pelarian yang terletak di pinggir bandar Damsyik itu semalam, ketika Presiden Bashar al-Assad meningkatkan kempen untuk menentang pemberontak. - AFP

No comments:

Post a Comment