My Add

Saturday 25 August 2012

Keputusan sapina Dr. Mahathir 30 Ogos

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 24 Ogos, 201: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 30 Ogos ini, keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail wajar disapina atau tidak.

Ia bagi memberi keterangan untuk menyokong permohonan Pengerusi DAP, Karpal Singh bagi menggugurkan pertuduhan terhadapnya di bawah Akta Hasutan 1948.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak-pihak yang terlibat dalam kes tersebut.

Terdahulu, Karpal ketika memohon sapina tersebut dikeluarkan menyatakan, keterangan Dr. Mahathir, Abu Talib dan Abdul Gani perlu bagi membuktikan dakwaannya yang dia (Karpal) telah dituduh secara salah.

Ini kerana, dakwa Karpal, Dr. Mahathir sewaktu debat pindaan Perlembagaan pada 1993 telah mengeluarkan kata-kata yang jauh lebih berbaur hasutan berbanding kata-katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, empat tahun lalu.

Namun sehingga hari ini, menurut Karpal, tiada pendakwaan dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri Malaysia keempat itu.

Pada 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi membolehkan prosiding undang-undang diambil terhadap raja-raja Melayu di Mahkamah Khas.

Sebelum pindaan itu, semua raja-raja Melayu, kebal daripada sebarang prosiding mahkamah.

Karpal berkata, beliau berhak mendapatkan perbicaraan yang adil dan tiada penyalahgunaan proses mahkamah dalam mengeluarkan sapina tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memohon agar kesemua individu berkenaan disapina pada peringkat pembelaan atas alasan telah dinafikan hak perlindungan sama rata di bawah Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Karpal pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya membela diri.

Karpal, 72, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin membantah permohonan Karpal kerana peguam itu perlu membuktikan, kata-kata yang diucapkan dalam sidang akhbar di pejabatnya tidak berbaur hasutan.

Ujarnya, pengeluaran sapina perlu dibuat secara teratur dan betul apabila seseorang saksi itu berkeupayaan memberikan keterangan yang material.

Tambahnya, adalah tidak wajar untuk membawa dakwaan-dakwaan yang dikatakan dibuat oleh Dr. Mahathir pada ketika itu di peringkat ini untuk dijadikan pembelaan Karpal.

Selain itu, Noorin menyatakan, hak perlindungan sama rata dalam Artikel 8(1), tertakluk kepada Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan mengenai budi bicara Peguam Negara untuk mendakwa seseorang dan bukan sebaliknya.

''Kuasa budi bicara adalah mutlak dan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah,'' kata Noorin sambil memohon permohonan Karpal ditolak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment