My Add

Thursday 9 August 2012

Kerajaan belum putuskan ambil pekerja asing dari Bangladesh

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 09 Ogos, 2012: Keputusan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh ke negara ini belum dimuktamadkan dan perlu diteliti terlebih dahulu kerana mekanisme pengambilan akan dibuat antara kerajaan dengan kerajaan.


Keputusan ini dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing Dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) kali ke-8 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bahagian Pengurusan Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan di sini hari ini berkata mesyuarat itu juga bersetuju supaya Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengetuai delegasi lawatan kerja ke Bangladesh bagi meninjau model dan sistem yang digunapakai oleh kerajaan negara itu dan Republik Korea.

"Mekanisme perlu ditetapkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan pengambilan pekerja asing warganegara Bangladesh," kata kenyataan itu.

Mesyuarat itu juga bersetuju menjadikan Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA) sebagai prasyarat wajib bagi pengeluaran Pas Lawatan (Kerja Sementara) (PLKS) di samping mengekalkan Job Clearing System (JCS) sedia ada.

Menurut kenyataan itu, JCS masih diperlukan kerana ia adalah kaedah untuk kerajaan mengutamakan rakyat tempatan dalam aktiviti penempatan pekerjaan. "Keperluan SPPA ini adalah selaras dengan Akta Pampasan Pekerja 1952.

Bagaimanapun, kerajaan akan mempertimbangkan keperluan mendesak kes demi kes yang akan diperakukan oleh kementerian dan agensi kawal selia masing-masing," katanya.

Mengenai status terkini Program Menyeluruh Menangani Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P), proses penguatkuasaan kini diteruskan dan majikan serta pendatang tanpa izin yang masih enggan melakukan proses pemutihan akan dikenakan tindakan.

Kenyataan itu berkata daripada 1,303,126 pendatang tanpa izin yang mendaftar, seramai 1,015,852 telah mendaftar untuk bekerja, manakala 287,274 lagi mendaftar untuk pulang ke negara masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment