My Add

Friday 17 August 2012

Malaysia perlu bantu: Dr Mahathir

Oleh Zanariah Abd Mutalib

Elak Rohingya jadi mangsa keganasan etnik di Myanmar

PUTRAJAYA, KHAMIS, 16 Ogos, 2012: Pemimpin Malaysia perlu mengadakan perbincangan secara tertutup dengan pemimpin Myanmar dalam usaha menyelamatkan pelarian Rohingya daripada terus menjadi mangsa keganasan etnik di negara itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau percaya Malaysia mampu memainkan peranannya sebagai rakan akrab, walaupun ia mungkin mengambil sedikit masa.

Jumpa secara peribadi

“Pemimpin Malaysia harus membuat kenyataan peribadi, tidak perlu terbuka dan publisiti. Saya percaya pemimpin Myanmar akan bertukar (fikiran) untuk menerima pakai standard yang diamalkan pihak lain.

“Mungkin akan mengambil sedikit masa tapi tidak begitu lama, seperti mana mereka menerima demokrasi sebelum ini. Saya tak fikir mereka tidak langsung mempedulikan pendapat jiran mereka serta dunia. Pada akhirnya mereka akan menerima,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Bulan lalu, lebih 80 etnik Rohingya dilaporkan terbunuh akibat keganasan kaum di Rakhine berikutan penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia serius oleh majoriti penganut Buddha di wilayah berkenaan.
Kira-kira 800,000 etnik itu juga hidup menderita dan dinafikan hak untuk mendapatkan perlindungan nyawa atau harta benda, selain menjadi pelarian di Bangladesh.

Dr Mahathir, yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) berkata, Malaysia juga perlu bekerjasama dengan negara ASEAN lain bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Hantar surat kepada Aung San Suu Kyi

Katanya, beliau sendiri sudah menulis surat kepada pemimpin pro demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, supaya segera menangani isu itu.

“Saya tahu beliau belum berkuasa tapi sekurang-kurangnya kita beritahu perasaan kita kepada mereka.

“Kita bukan benci atau marah kepada orang Myanmar, tapi kalau mereka tidak bersetuju pun, ada cara baik untuk menunjukkan perasaan itu, tapi janganlah sampai membunuh... itu tidak baik.

Bela nasib pelarian Rohingya

“Kita sudah lama menerima orang Rohingya yang lari ke sini kerana ditindas dan bila kita usaha untuk menghantar mereka pulang, Myanmar enggan terima walaupun mereka ini orang Myanmar.

“Saya rasa eloklah Myanmar beri pertimbangan supaya mereka dapat hidup sebagai rakyat negara itu,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment