My Add

Tuesday 21 August 2012

Masjid ikut kaum tidak jejas perpaduan umat Islam

MELAKA, SELASA, 21 Ogos, 2012: Masjid Cina Muslim yang sedang dibina di negeri ini akan menggunakan bahasa Mandarin dalam khutbah Jumaat bagi memudahkan proses penyampaian dakwah Islam kepada kira-kira 3,800 masyarakat itu di negeri ini.

Presiden Persatuan Tionghua Muslim Negeri Melaka (Pertim), Mohd. Mansor Yap Abdullah berkata, khutbah itu yang akan mendapatkan kelulusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), mungkin akan diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan disiar di skrin layar di ruang jemaah bagi manfaat jemaah bukan Cina.

``Masjid Cina pertama di Melaka dan ketiga di Malaysia itu bercirikan seni bina China menerusi pembinaan dua kubah, menara besar serta dua pintu gerbang dan bumbung berlapis sebagai satu daya tarikan kepada masyarakat Cina muslim untuk berkunjung ke rumah ibadat itu,’’ katanya kepada Bernama.

Masjid itu yang dianggar memakan belanja kira-kira RM7.5 juta di kawasan seluas dua hektar di Klebang Kecil di sini, yang berdekatan Dataran 1Malaysia, dijangka siap awal 2014.

Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan sebanyak RM5.9 juta, manakala RM1.6 juta menerusi dana dan sumbangan pelbagai pihak.

Mohd. Mansor Yap berkata, masyarakat Islam khususnya di Melaka tidak seharusnya berasa bimbang dengan kewujudan masjid mengikut kaum kerana ia tidak menjejaskan perpaduan umat Islam di negara ini.

"Contohnya, Masjid India di Kuala Lumpur menggunakan bahasa Tamil ketika menyampaikan khutbah Jumaat, begitu juga masjid Cina di Kelantan dan Perak yang menjalankan aktiviti pendakwahan dalam bahasa Mandarin, tetapi ada umat Islam bangsa lain yang menunaikan solat di sana," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment