KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Ogos, 2012: Pengusaha bas perlu mengambil sikap bertanggungjawab dengan membuat pemeriksaan kesihatan dan rekod peribadi pemandu bas dari masa ke semasa bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah atau jenayah.
Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason berkata, pihak berkuasa telah melakukan pelbagai tindakan bagi membanteras kes-kes berkenaan termasuk menjalankan operasi tetapi ia sangat mengecewakan apabila masalah itu masih berulang.
"Jumlah 46 pemandu bas ekspres yang disahkan positif dadah dalam Op Selamat yang dijalankan di seluruh negara seperti dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan semalam adalah angka yang sangat membimbangkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Solah berkata, pengesanan pemandu bas yang disahkan positif dadah itu adalah hasil ujian saringan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di 32 terminal bas yang diperiksa dalam Op Selamat di seluruh negara dalam tempoh 12 Ogos hingga Jumaat lalu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment