My Add

Monday 20 August 2012

Mayat dipercayai mangsa bot karam ditemui

JOHOR BAHRU, ISNIN, 20 Ogos, 2012: Mayat seorang wanita dipercayai salah seorang daripada tujuh mangsa bot karam pada Khamis lepas, ditemui di perairan Pengelih, Kota Tinggi oleh penduduk tempatan pada pukul 2.15 petang kelmarin.

Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang dimaklumkan mengenai penemuan itu, kemudian mengambil mayat tersebut dan diserahkan kepada Balai Polis Pengerang sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi.

Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan telah mengarahkan anggotanya meneruskan operasi bagi mengesan dua lagi mangsa lelaki yang masih hilang.

Setakat ini, dua mangsa iaitu tekong bot warga tempatan Harman Latip, 44, dan seorang warga Indonesia, Zulkarnain Yusman, 26, berjaya diselamatkan dan tiga mayat telah ditemui.

Ketika kejadian kira-kira 12 tengah hari Khamis lepas, sebuah bot pancung cuba membawa keluar secara haram enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang ke Batam, Indonesia namun karam apabila dipukul ombak berhampiran Tanjung Pengelih.

"Sempena perayaan hari raya kali ini, kita melaksanakan operasi bersama Jabatan Imigresen Johor bagi membendung penyeludupan keluar PATI melalui jeti yang tidak diwartakan dan kita berjaya menghalang bot-bot mereka,” kata Adon di sini semalam. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment