My Add

Friday 17 August 2012

Monorel rosak, 200 penumpang terkandas

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Ogos, 2012:: Perkhidmatan monorel dari stesen Imbi ke Bukit Bintang tergendala hampir sejam pagi ini apabila sebuah tren mengalami kerosakan kecil, menyebabkan kira-kira 200 penumpang terkandas.

Jurucakap KL Star Rail, Azhar Ghazali, berkata bagaimanapun kejadian pada jam 8.35 pagi itu tidak menyebabkan kecederaan kepada penumpang.

Beliau berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada pemandu monorel pada jam 8.45 pagi dan tren penyelamat dihantar ke lokasi bagi memindahkan penumpang secara "tren-ke-tren" di mana kesemua mereka berjaya dipindahkan 10 minit selepas itu.

"Operasi tidak membabitkan pihak luar. Semua penumpang selamat dan ketika kejadian, enjin, pendingin hawa dan lampu monorel berfungsi seperti biasa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan disambung semula 30 minit kemudian dan punca kejadian masih disiasat.

"Bagi syarikat pengendali KL Star Rail, saya memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan tersebut," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment