My Add

Friday 10 August 2012

Najib ucap syabas kejayaan Pandelela raih pingat gangsa

 Pandalela RinongFoto EPA
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan syabas kepada ratu terjun negara Pandelela Rinong kerana meraih pingat gangsa Olimpik dalam acara platform 10 meter wanita sekali gus meletakkan penerjun itu sebagai atlit wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik.

"Pagi tadi, saya terima berita menggembirakan dari temasya Sukan Olimpik. Olahragawati negara, Pandelela Rinong anak Pamg berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara terjun platform 10 meter wanita.
"Syabas Pandelela!" katanya dalam entri terbaru laman Facebook beliau hari ini.

Sehingga jam 1 tengah hari ini, lebih 12,000 rakan Facebook Najib menyukai (like) entri tersebut dan mengucapkan tahniah kepada penerjun kelahiran Sarawak itu di atas kejayaan beliau mengharumkan nama negara.

Dalam entri facebook itu, Najib juga yakin Pandelela akan terus menunjukkan peningkatan prestasi di tahun-tahun akan datang.

"Dalam usia muda beliau, saya yakin Pandelela akan terus menunjukkan peningkatan prestasi di tahun-tahun akan datang," katanya.

Dalam tweetnya pula, Najib memuji persembahan Pandelela.
"Great performance by Pandelela. First Malaysian woman to win an Olympic Medal. Syabas dan tahniah!".

Selepas bermula agak hambar pada terjunan pertama, Pandelela bangkit semula dalam empat lagi percubaan untuk mengumpul 359.20 mata, di belakang juara bertahan Chen Ruolin dari China (422.30 mata) dan pemenang pingat perak, Brittany Broben dari Australia yang mengumpul 366.50 mata.

Ia adalah pingat kedua negara buat Malaysia selepas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menyumbang pingat perak dalam acara perseorangan lelaki, Ahad lalu.

Kejayaan Pandelela itu juga, sehingga kini, menyamai pencapaian kontinjen negara dalam edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat dengan membawa pulang sebutir pingat perak dan satu gangsa.

Pencapaian Pandelela itu juga memecah dominasi sukan badminton yang sebelum ini menyumbangkan dua pingat perak dan dua gangsa, sejak Malaysia pertama kali menyertai temasya sukan terbesar dunia, bermula di Melbourne pada 1956.

Pada Sukan Olimpik Seoul 1988, atlit taekwondo wanita, M Vasugi pernah menerima pingat gangsa, namun pada ketika itu taekwondo adalah sukan demonstrasi, maka pungutan pingatnya tidak termasuk dalam senarai pungutan pingat rasmi Olimpik.

Dari LONDON, BERNAMA dalam laporannya menyatakan Pandelela tidak menghampakan sandaran yang diletakkan di atas bahunya apabila merangkul pingat gangsa dalam acara akhir 10m platform wanita pada Sukan Olimpik 2012, lewat malam tadi.

Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu menceriakan kontinjen Malaysia, tiga hari sebelum temasya Sukan Olimpik melabuhkan tirainya, dengan menghadiahkan pingat kedua negara selepas sebutir perak oleh Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton, Ahad lalu.

Selepas wakil tunggal Heidi Gan memperoleh tempat ke-16 dalam acara renang maraton 10km laut terbuka di Tasik Serpentine di Hyde Park pada sebelah pagi, misi menambah pingat kedua tanpa mengira warna kelihatan mustahil.

Bagaimanapun, Pandelela, yang diberi tanggungjawab membawa bendera Jalur Gemilang pada perarakan kontinjen pada majlis perasmian Sukan Olimpik 2012, berjaya memecah kebuntuan memburu pingat kedua negara.

Dia mengumpul 359.20 mata untuk meraih gangsa di belakang pemenang pingat emas Chen Ruolin dari China dan pemenang pingat perak, Brittany Broben dari Australia.

Pencapaian Pandelela itu akhirnya memecah dominasi sukan badminton yang sebelum ini menyumbangkan dua pingat perak dan dua gangsa, sejak Malaysia pertama kali menyertai temasya sukan terbesar dunia, bermula di Melbourne pada 1956.

Kejayaan Pandelela ini juga, sehingga kini, menyamai pencapaian kontinjen negara daripada edisi 1996 Atlanta, Amerika Syarikat, yang membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Esok, seorang lagi penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, akan menggalas satu lagi tugas berat dalam menambah kutipan pingat apabila memulakan saingan dalam acara 10m platform lelaki.

No comments:

Post a Comment