My Add

Friday 10 August 2012

Peter Chin tak pertahan kerusi Miri, kekal Presiden SUPP

MIRI, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Anggota Parlimen Miri sejak 1990, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang selama ini membisu mengenai karier politiknya, malam tadi memberitahu tidak akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau bagaimanapun akan kekal sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hingga 2014. 

Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata Setiausaha Penerangan dan Publisiti parti, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dicadang bertanding di Miri.

"Saya sudah berkhidmat banyak penggal dan ini adalah penggal terakhir saya," katanya kepada pemberita selepas hadir majlis berbuka puasa bersama ketua jabatan dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini.

Beliau berkata, keputusannya untuk tidak bertanding itu bagi membuka jalan kepada pemimpin muda mengambil peranan sebagai pemimpin dalam usaha mentransformasikan SUPP, selain menangkis dakwaaan bahawa parti itu hanya untuk 'warga emas'.

"Apabila saya mengambil alih teraju parti, prinsip saya ialah memberi peluang kepada pemimpin muda memimpin. Itulah sebab saya bertanding untuk jawatan presiden tahun lalu," katanya.

"Saya percaya komuniti Cina akan memahami apa yang saya cuba lakukan. Saya percaya komuniti Cina akan sokong hasrat saya, saya tidak mahu berada di sini melebihi masa dan menjadi beban kepada parti," katanya. 

Mengenai penggantinya, Chin yakin pengundi dapat menerima Ting yang juga Setiausaha Politiknya, memandangkan beliau dikenali semua bangsa di sini.

Chin turut merayu semua pihak, khususnya komuniti Cina, supaya terus menyokong SUPP dan mengembalikan keutuhan kedudukan politik SUPP.

Mengenai jawatan dalam parti, Chin berkata penggalnya akan tamat pada 2014 dan pemimpin muda dijangka mengambil alih teraju parti itu.

Susulan pengumuman Chin itu, SUPP dijangka mencalonkan empat muka baru pada pilihan raya umum akan datang untuk bertanding di kerusi Bandar Kuching, Stampin, Sibu dan Miri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment