My Add

Monday 6 August 2012

Noh tidak layak soal wang rakyat


JANATUL FIRDAUS YAACOB
SHAH ALAM, ISNIN, 06 Ogos, 2012: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang kononnya menyalahgunakan wang rakyat untuk membiayai kos guaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari, berkata, dana itu diperoleh menerusi peruntukan Geran Selangorku bernilai RM5 juta bagi Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan.

“Noh tidak layak bicara soal wang rakyat kerana beliau sendiri tidak mampu menyelamatkan penyelewengan dana Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) berjumlah RM250 juta oleh pemimpin UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dipetik Sinar Harian.

Menurutnya, sejak kepincangan itu didedahkan, beliau selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Noh tidak mengambil sebarang tindakan bagi mendapatkan semula wang rakyat yang telah disalahgunakan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Salleh.

“Selaku Menteri, Noh gagal menunaikan tanggungjawab berkhidmat dan menjaga amanah rakyat termasuk memastikan tiada penyelewengan melibatkan dana kerajaan.

“Walaupun pinjaman RM250 juta diluluskan sebelum Noh memegang kementerian itu, beliau sepatutnya ambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mengembalikan semula dana itu kepada kerajaan,” katanya.

Yaakob berkata, Geran Selangorku sememangnya diperuntukkan untuk kegunaan rakyat antaranya, Pengenalan Gaji Minima, Program Memperkasakan Wanita, Pembinaan Infrastruktur Sukan, Pembaikan Infrastruktur dan Program Pengukuhan Demokrasi.

“Bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri bukan untuk membantu kroni, sebaliknya sebagai sokongan terhadap usaha dan keberanian Rafizi mendedahkan kepincangan pengurusan dana rakyat.

“Rafizi adalah mangsa ketidakadilan sistem di negara ini apabila pelapor kes rasuah dan penyelewengan dilayan seperti pengganas dengan tangannya digari ketika dibawa ke mahkamah manakala suspek rasuah pula diberi layanan VIP.

“Rakyat Selangor dan Malaysia dapat menilai ketidakadilan yang berlaku di bawah pemerintahan Umno-BN.

“Kita yakin bahawa penilaian ini akan membawa kepada perubahan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment