My Add

Thursday 23 August 2012

Pas perlu nyatakan pendirian berhubung hudud bukan DAP

KOTA BHARU, KHAMIS, 23 ogos, 2012: Pas yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengenai pendirian mereka berhubung hukum hudud, bukan DAP, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, berkata PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dalam pakatan pembangkang, perlu tegas dengan pendirian mereka untuk melaksanakan hukum hudud walaupun tidak dipersetujui DAP. 

"Yang penting hari ini, Pas perlu buat pendirian, bukan DAP yang buat pendirian. Orang Malaysia sudah tahu daripada dulu lagi DAP tolak negara Islam, tolak hudud.

"Yang silapnya Pas pergi terima DAP buat apa," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka anjuran UMNO Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, berkata pemimpin tertinggi DAP terutama Penasihatnya, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng diminta mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian rasmi parti itu mengenai pelaksanaan syariat Islam di negara ini seperti hukum hudud.

Nik Abduh dilaporkan berkata, kenyataan itu sangat penting bagi memperbetulkan persepsi rakyat selepas beberapa siri kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menolak hukum hudud dan negara Islam yang cuba dilaksanakan Pas jika berjaya menguasai kerajaan persekutuan.

Mohamad Fatmi berkata, Pas juga sepatutnya membuat pendirian sama ada masih mahu kekal bersama pakatan pembangkang selepas kenyataan mereka berhubung penubuhan negara Islam dilihat sering ditolak DAP. 

Mengenai kesesakan lalu lintas di negeri ini menjelang Aidilfitri, Mohamad Fatmi berkata, UMNO merancang untuk membina Lebuhraya Kota Baharu-Gua Musang jika diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

"Ini adalah perancangan kepimpinan UMNO Kelantan. Kami akan membina lebuh raya ini dan tidak akan membebankan rakyat untuk memberi sumbangan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment