My Add

Saturday 18 August 2012

PBB tamatkan misi di Syria

*SEBAHAGIAN daripada penduduk Syria beratur untuk membeli roti di luar sebuah kedai di bandar Azaz, utara Aleppo, kelmarin. - AGENSI

AZAZ, JUMAAT, 17 Ogos, 2912: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkan agar misi pasukan pemantau di Syria ditamatkan, ketika kumpulan aktivis melaporkan angka kematian orang awam terus meningkat di bandar bergolak Aleppo, hari ini.

Keputusan PBB itu diumumkan semalam ketika masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan terhadap Presiden Bashar al-Assad untuk menghentikan pertumpahan darah yang telah berlanjutan sejak 17 bulan lalu yang menyaksikan konflik berkenaan kini mula memberi ancaman kepada negara jiran, Lebanon.

Duta Perancis ke PBB, Gerard Araud berkata, Misi Penyeliaan PBB di Syria (UNSMIS) yang dijadual berakhir pada tengah malam Ahad ini, tidak boleh diteruskan kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, ketua bantuan bekalan kecemasan PBB, Valerie Amos berkata, kira-kira 2.5 juta rakyat Syria memerlukan bantuan kemanusiaan, meningkat berbanding 500,000 yang dinyatakan sebelum ini.

"Krisis kemanusiaan di Syria semakin teruk sejak saya tiba ke sini pada Mac lalu dan mereka memerlukan penjagaan kesihatan, tempat perlindungan, makanan, air dan sanitasi.

"Larangan birokratik, keganasan yang masih berterusan dan sumbangan antarabangsa yang tidak mencukupi menjadi penghalang untuk PBB menghantar lebih banyak bantuan," katanya.

Dalam perkembangan terbaru hari ini, kumpulan aktivis melaporkan, tentera Syria melancarkan serangan meriam terhadap sekumpulan orang awam yang sedang beratur di sebuah kedai roti di daerah Qadi Askar, timur Aleppo.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, sekurang-kurangnya 10 orang maut di daerah terbabit dan 99 lagi terbunuh dalam keganasan di seluruh negara semalam, kebanyakannya orang awam.

Jumlah kematian terbaru semalam dicatatkan sehari selepas lebih 40 orang maut dan sekurang-kurangnya 100 yang lain termasuk wanita dan kanak-kanak cedera, dalam serangan udara tentera Syria ke atas bandar Azaz, 30 kilometer dari utara Aleppo. - AFP

No comments:

Post a Comment