My Add
Saturday, 18 August 2012
Bantuan kemanusiaan ke Syria
*MUHYIDDIN Yassin berbincang sesuatu dengan Sheikh Dr. Khalik Kindo ketika menerima kunjungan tiga Ulama Syria di kediamannya di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Ogos, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikrarkan komitmen beliau untuk membantu gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria.
Muhyiddin membuat keputusan itu selepas mengadakan pertemuan dengan tiga ulama Syria yang kini berada di Malaysia bagi mendapatkan bantuan bagi pihak rakyat di Syria yang sedang bergolak, di kediaman Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.
Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, berkuat kuasa serta merta, Timbalan Perdana Menteri memberikan komitmen beliau untuk membantu NGO berkenaan dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria.
Kerjasama lebih 30 NGO yang dikenali sebagai Gabungan Selamatkan Syria (GSS) hari ini mengatur pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri bersama-sama ulama berkenaan yang diketuai Sheikh Dr. Khalik Kindo.
Ulama berkenaan telah berada di Malaysia selama seminggu dan akan berlepas pulang ke negara mereka pada 20 Ogos.
Semasa ditemui selepas pertemuan itu, Pengerusi Sekretariat GSS, Naim Jusri berkata, gabungan NGO amat bersyukur dan gembira dengan reaksi positif diberikan Timbalan Perdana Menteri.
"Lebih banyak langkah proaktif akan diambil untuk menunjukkan bahawa kami dari sebuah negara Islam tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di Syria. Kami menyokong rakyat Syria dan perlu membantu mereka dalam apa cara yang boleh," katanya.
Naim berkata, dalam perbincangan pada pertemuan itu, ulama berkenaan ada meminta Malaysia mempertimbangkan untuk menutup Kedutaan Syria di sini dan meminta mereka meninggalkan Malaysia. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment