My Add

Sunday 5 August 2012

Pendidikan agenda utama - TPM

*MUHYIDDIN Yassin melihat barangan jualan ketika melawat ke gerai-gerai selepas pelancaran Jom Beli Barangan Raya di Kompleks Sukan, Pagoh, Johor, semalam. - BERNAMA


Oleh ZULHISHAM ISAHAK
PAGOH, SABTU, 04 Ogos, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam meletakkan pendidikan sebagai antara agenda utama dalam kehidupan kerana ia merupakan aspek penting dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan amat mementingkan bidang pendidikan dengan memastikan setiap rakyat mendapat peluang bersekolah dan mempelajari ilmu tanpa mengira kaum atau agama.

"Tiada sebab kita tidak dapat belajar ilmu dunia, ilmu agama dan sebagainya kerana dengan ilmu inilah akan dapat mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup kita.

"Kerajaan memang mementingkan pendidikan," katanya ketika berucap pada majlis tahlil dan berbuka puasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Baru Batu 28, Lenga, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh.

Terdahulu, beliau melawat dan beramah-mesra dengan orang ramai sebelum merasmikan Program Jom Beli Barang Raya @ Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Muhyiddin berkata, usaha kerajaan membangunkan rakyat dan negara selepas merdeka kini mencatatkan kadar positif apabila kemiskinan ketika ini hanya dua hingga tiga peratus berbanding 70 peratus sewaktu negara baru merdeka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menambah, kerajaan tidak mahu melihat rakyat terbiar atau terpinggir kerana asas untuk menjadi negara maju adalah menerusi pendidikan yang seterusnya dapat meningkatkan ekonomi serta menangani cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Beliau turut mengingatkan umat Islam mengambil peluang sepanjang Ramadan kali ini untuk memperbaiki diri dan meningkatkan ibadat kerana bulan tersebut penuh dengan rahmat dan keberkatan.

"Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi lebih daripada itu dapat membentuk jati diri selain merasai kesusahan orang lain kerana umat Islam di negara ini tidak merasai kesusahan seperti di negara Islam lain yang dilanda musibah dan kebuluran," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment