My Add

Sunday 5 August 2012

Zakat wujudkan masyarakat adil

PEKAN, SABTU, 04 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, amalan berzakat dapat mewujudkan masyarakat yang adil dan seimbang serta mengurangkan jurang antara kaya dan miskin.

Menurut Perdana Menteri, kewajipan berzakat juga memperlihatkan keindahan Islam sebagai sebuah agama yang syumul dan lengkap.

"Dari satu aspek, Islam mengajar umatnya mengejar kejayaan agar menambah rezeki, berusaha gigih mencari peluang meningkatkan perniagaan, memburu kecemerlangan dan sebagainya.

"Ini adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang mana sesiapa yang berjaya, Allah akan memberi ganjaran kepadanya. Namun, dengan syarat kita guna kekayaan itu untuk jalan Allah dan antaranya dengan membayar zakat, memperbanyakkan amal jariah, menolong orang susah, mewakafkan harta dan sebagainya," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Kira-kira 6,000 orang hadir menerima zakat meliputi pelbagai kategori asnaf. Sumbangan zakat berkenaan merupakan yang terbesar pernah disampaikan di Parlimen Pekan setakat ini.

Zakat berkenaan dibayar oleh pelbagai pihak yang diagihkan kepada asnaf di Parlimen Pekan, antaranya Bank Rakyat membayar RM600,000 manakala Amanah Raya Berhad dan Uda Holdings (masing-masing RM200,000).

Penyumbang zakat lain ialah Affin Islamic Bank dan Lembaga Tabung Haji (masing-masing RM100,000) manakala Yayasan Basmi Kemiskinan (RM50,000) diikuti pembayar individu lain termasuk Najib sendiri.

Selepas itu, Najib turut menyertai majlis pengagihan 5,000 keping martabak kepada penduduk Pekan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment