KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Ogos, 2012: Penganalisis antarabangsa mula mengakui keberkesanan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ia terbukti dengan pembangunan pusat kewangan baru iaitu Tun Razak Exchange.
ETP melibatkan projek-projek disokong kerajaan yang direka untuk meningkatkan pendapatan per kapita kepada AS$15,500 (RM49,600) berbanding AS$9,600 (RM30,720) pada tahun lalu dan membolehkan Malaysia keluar dari kepompong pendapatan pertengahan.
Penganalisis Agensi Penarafan Moody’s, Christian de Guzman mengakui sebelum ini beliau skeptikal dengan kemampuan program tersebut untuk merangsang pembangunan sektor swasta semasa dilancarkan.
‘‘Bukti kukuh adalah program tersebut berada di landasan sebenar.
‘‘Secara agregat, banyak yang sedang berlaku dalam ekonomi Malaysia,’’ katanya kepada Financial Times Singapura.
Bukan sahaja Malaysia mengalami permintaan domestik kukuh bagi mengimbangi kelemahan permintaan eksport, ia telah menerima manfaat melalui hubungan akrab dengan ekonomi-ekonomi Asia.
Moody’s berkata, pada 2006, Amerika Syarikat (AS) merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dengan 18.8 peratus eksport, manakala Asia Pasifik kira-kira 60 peratus.
Menjelang tahun lalu, angka tersebut berubah dengan eksport ke AS adalah 8.3 peratus dan Asia Pasifik 69 peratus.
Ekonomi Malaysia yang sihat disebabkan faktor lebih baik, berbeza dengan kebimbangan berterus negara-negara jirannya di Asia Tenggara ekoran kemelesetan global telah memburukkan ekonomi mereka.
Penganalisis itu berpendapat, masalah yang membimbangkan Malaysia adalah peningkatan hutang isi rumah yang disebabkan oleh pertumbuhan mendadak penggunaan kad kredit.
Bagaimanapun, pertumbuhan selesa mungkin terganggu disebabkan keadaan politik terutama mengenai tarikh pilihan raya yang mesti dilakukan sebelum April tahun depan.
Apabila pilihan raya berlaku, ia dijangka menjadi persaingan hebat sejak beberapa dekad, menyebabkan ketidaktentuan kepada pelabur.
Namun, hanya segelintir yang bimbang terhadap ketidaktentuan itu kerana program transformasi terus kukuh.
Bank pusat turut mengunjurkan pertumbuhan tahun ini adalah sekitar 4.0 hingga 5.0 peratus.
Penganalisis Barclays, Rahul Bajoria berkata, beliau menjangkakan momentum pertumbuhan akan kekal disebabkan pelaburan yang bersandarkan kepada projek tidak akan diberhentikan dengan tiba-tiba. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment