My Add

Saturday 18 August 2012

Misi kemanusiaan Rohingya 25 Ogos - Abdul Azeez

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Ogos, 2012: Kelab Putera 1Malaysia akan menghantar kumpulan pertama seramai lima orang pada 25 Ogos ini ke sempadan Myanmar bagi mempersiapkan segala persediaan misi bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Islam Rohingya.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kumpulan kedua pula akan bertolak ke tempat sama melalui Chittagong, Bangladesh pada 2 September nanti.

"Kita akan menyerahkan barangan keperluan misi bantuan melalui Chittagong ke sempadan Myanmar. Seramai 45 orang sukarelawan telah berminat untuk menyertai misi kali ini, khususnya pengamal perubatan.

"Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bersetuju untuk membantu membawa barangan bantuan dalam misi ini seperti makanan dan lain-lain melalui kapal laut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau ATM yang diterima oleh Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain di Wisma Pertahanan hari ini.

Turut hadir Panglima ketiga-tiga cabang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Sebanyak 46 masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat di bawah ATM menerima 470 jubah, 88 kotak kurma dan 88 kotak air zamzam untuk kegunaan dan diagihkan kepada kariah.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, secara keseluruhannya sebanyak 135,000 jubah, 20 liter air zamzam dan 10 kilogram kurma setiap satu diagihkan kepada 8,000 masjid dan 700 surau di seluruh negara.

"Penyerahan hari ini merupakan yang penghabisan kepada warga ATM. Sumbangan ini merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan diharap dapat digunakan sepenuhnya oleh jemaah masjid dan surau," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment