My Add

Wednesday 8 August 2012

Pengurut kaki dipenjara setahun, denda RM300,000, menipu

SHAH ALAM, RABU, 08 Ogos, 2012:: Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM300,000 atau penjara lima tahun ke atas seorang pengurut kaki setelah didapati bersalah menipu seorang peniaga RM392,000.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Yap Ah Bian, 63, setelah pihak pembelaan gagal membuktikan kes pendakwaan melampaui keraguan munasabah.
Yap didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya Lim Lea Moi, 46, supaya menyertai pelaburan restoran yang menawarkan pulangan lumayan sehingga mendorong peniaga itu menyerahkan kepada beliau wang itu di hadapan Standard Chartered Bank, Meru Klang di antara 29 Mei 2009 dan 27 Januari 2010.

Peguambela Yap, CK Kang memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya dikenakan hukuman yang minimum iaitu penjara sehari dan denda RM10,000.

Di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan Yap boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda.

Kang merayu supaya hukuman itu diringankan memandangkan antara lain Yap dan suaminya kini tidak bekerja dan ditanggung oleh tiga orang anak-anaknya. Yap juga dikatakan mengalami masalah jantung dan lemah otot.

Beliau juga memohon supaya mahkamah menangguhkan pelaksanaan kedua-dua hukuman ke atas anak guamnya dan meminta supaya nilai jaminan dikekalkan.
Timbalan Pendakwa raya Mohd Fuad Abdul Aziz berkata, pihak pembelaan tidak pernah mengemukakan bukti seperti laporan perubatan dan masalah kesihatan tertuduh.

Mat Ghani kemudian membenarkan permohonan untuk menangguhkan kedua-dua hukuman sementara menunggu rayuan dan mengarahkan jaminan ditambah sehingga RM30,000 daripada asal RM10,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment