My Add

Thursday 16 August 2012

PERKESO bayar pampasan RM720 juta kepada pencarum

KUALA LUMPUR, : Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membayar pampasan berjumlah RM720 juta kepada pencarum yang terbabit dalam kemalangan semasa dalam perjalanan dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya (commuting accident) bagi tempoh Januari tahun lalu hingga Jun tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, bagi Januari-Jun tahun ini, 30,575 kes kemalangan dilaporkan kepada PERKESO dan 'commuting accident' meliputi satu pertiga daripadanya dengan 12,893 kes, kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal dan mendatangkan maut. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Keselamatan Bermotosikal Kebangsaan kepada Pencarum Perkeso 2012 di sini hari ini.

Program bertemakan 'Janji Selamat Pergi Balik Kerja' itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pekerja dan pencarum yang menunggang motosikal supaya mengutama dan membudayakan keselamatan ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.

Sempena program yang berlangsung sehingga hujung tahun ini, PERKESO akan mengedarkan 5,000 unit topi keledar dan jaket keselamatan kepada pencarum di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Subramaniam berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan terbabit ialah kegagalan pekerja untuk merancang waktu perjalanan terutama untuk ke tempat kerja. 

"Apabila gagal merancang masa dengan baik, pekerja akan lambat dan ini yang memaksa mereka memandu kereta atau menunggang motosikal secara berbahaya serta berisiko sehingga menjurus kepada kemalangan," katanya.

Selain itu, beliau berkata sikap pengguna jalan raya juga menjadi faktor kerana kebanyakan kemalangan yang dilaporkan kepada PERKESO berlaku di jalan yang baik dan lurus serta ketika cuaca baik dan keadaan trafik lancar.

Sehubungan itu, beliau mahu golongan pekerja mengamalkan budaya keselamatan jalan raya dan lebih berhati-hati terutama yang menunggang motosikal bagi memastikan mereka sentiasa selamat.

"Ini satu perkara yang sangat membimbangkan kita. Tambahan pula ramai yang terbabit (kemalangan) berumur 40 tahun ke bawah, dan ini adalah kerugian besar bagi majikan dan negara," katanya. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment