My Add

Saturday 11 August 2012

Polis lumpuhkan rangkaian dadah antarabangsa

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah didalangi warga Iran lumpuh setelah tertangkapnya 21 anggota sindiket itu bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM6 juta dalam lima serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara, polis menahan empat lelaki warga Iran.

Katanya, polis merampas dadah jenis syabu seberat 20kg dalam bentuk serbuk, heroin 630g, 65.07 liter cecair syabu yang dipercayai untuk diproses menjadi dadah jenis syabu ketulan kristal serta beberapa bahan kimia untuk tujuan membuat syabu.

Beliau berkata, susulan itu polis menahan 17 lagi anggota sindiket berkenaan hasil serbuan ke beberapa buah kediaman mewah lain di Cyberjaya, Mont Kiara, Petaling Jaya, Jalan Ipoh dan Bandar Manjalara di Kepong.

"Serbuan semalam membawa kita kepada penahanan 21 anggota sindiket itu, berumur antara 22 dan 54 tahun membabitkan 15 warga Iran iaitu 14 lelaki dan seorang wanita, seorang lelaki Uzbekistan dan dua wanita Uzbekistan, dua wanita Filipina dan seorang lelaki tempatan.

“Polis percaya dapat melumpuhkan rangkaian sindiket dadah antarabangsa membabitkan warga asing,” katanya di sidang media di Bukit Aman di sini hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment